top of page

Malaysia-Australia komited perkukuh kerjasama di bawah kerangka CSP

  • nabalunews
  • 10 hours ago
  • 1 min read

ree

12 September 2025


PUTRAJAYA: Malaysia dan Australia komited untuk terus memperkukuh kerjasama dua hala pelbagai sektor di bawah kerangka Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP), berteraskan kemakmuran ekonomi, masyarakat dan ekonomi, serta pertahanan dan keselamatan serantau.


Komitmen itu dizahirkan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan rakan sejawatnya dari Australia, Penny Wong pada Mesyuarat Tahunan Menteri-Menteri Luar Negeri Malaysia-Australia kali ketujuh (AFMM) di Melbourne, Australia hari ini.


Kementerian Luar Malaysia dalam kenyataan pada Jumaat berkata, kedua-dua pemimpin turut mengalu-alukan kemajuan pemuktamadan perjanjian baharu dalam bidang imigresen, jenayah rentas negara, pendidikan, penguatkuasaan maritim dan pemudahan perdagangan.


“Menyentuh aspek perdagangan dan pelaburan, mereka bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang ekonomi hijau, pertanian dan makanan, tenaga, teknologi digital serta mineral kritikal, selain meningkatkan kerjasama dalam industri halal.


“Kedua-dua menteri menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama dalam sektor pendidikan, termasuk melalui penambahan biasiswa kepada pelajar Malaysia, peluasan program mobiliti, pengembangan operasi universiti-universiti Australia di Malaysia, serta memudahcara syarat visa bagi pelajar Malaysia," menurut kenyataan itu.


Selain itu katanya, kedua-dua pihak turut menzahirkan iltizam dalam bidang khususnya kerjasama di bawah Aturan Pertahanan Lima Negara (FPDA), Program Pertahanan Bersama Malaysia–Australia dan Operasi REDBACK.


Dalam pada itu, Mohamad dan Wong juga bersetuju untuk memperkukuh keselamatan maritim, memerangi keganasan, ketahanan siber serta usaha menangani jenayah rentas negara.


Menurut kementerian itu, Wong turut menyuarakan sokongan Australia terhadap Kepusatan ASEAN dan Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia.


“Kedua-dua Menteri turut membincangkan perkembangan terkini di Laut China Selatan, Myanmar, konflik Kemboja-Thailand dan situasi di Palestin.


"Mereka juga menegaskan komitmen bersama ke arah Indo-Pasifik yang aman, stabil dan makmur, serta menekankan bahawa Malaysia dan Australia kekal sebagai rakan rapat yang bekerjasama menangani cabaran global dan membina peluang masa hadapan," tambah kenyataan itu.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page