165 peserta sertai aktiviti lasak berbasikal di Kg.Kiau Taburi165 peserta sertai aktiviti lasak berbasikal di Kg.Kiau Taburi
top of page
  • Wartawan Nabalu News

165 peserta sertai aktiviti lasak berbasikal di Kg.Kiau Taburi



5 Disember 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Seramai 165 penunggang basikal seluruh Sabah menyertai aktiviti lasak, Cabaran Fun Ride Mountain Bike di Kiau Taburi.


Bertemakan "The Lost World of Kiau Taburi", cabaran itu merupakan acara sukan pertama di negeri ini selepas hampir dua tahun terhenti akibat pandemik Covid-19.


Program itu dianjurkan oleh masyarakat setempat dengan kerjasama kakitangan kerajaan dan disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah dan Lembaga Pelancongan Sabah (STB).


Timbalan Pengurus Besar STB Julinus Jimit berkata, cabaran itu merupakan acara yang baik untuk menandakan pembukaan semula sempadan antara daerah.


“Acara sebegini akan menambah nilai dan membantu mempromosikan lagi lokasi pelancongan luar bandar melalui penyertaan masyarakat luar.



"Ini selaras dengan matlamat kerajaan untuk membangunkan pelancongan luar bandar," katanya semasa merasmikan acara itu bagi mewakili Pengerusi STB Datuk Joniston Bangkuai, pada Sabtu.


Julinus berkata, kementerian dan STB akan terus menyokong acara itu sekiranya ia diadakan semula pada tahun berikutnya.


“Saya berharap dapat melihat lebih ramai peserta dari negeri dan negara lain pada edisi akan datang iaitu tahun 2022.


“Dengan sempadan antarabangsa dibuka semula tahun depan, saya juga mengalu-alukan penyertaan dari negara-negara lain.



“Pada masa yang sama, saya juga menggalakkan masyarakat tempatan menggunakan acara sukan dan aktiviti pelancongan lain untuk mempromosikan produk mereka termasuk kraftangan, makanan tradisional dan budaya,” katanya.


Sementara itu Pengasas Program Eko Pelancongan dan Sukan Berbasikal Affenddy Ting berkata, cabaran ini diadakan untuk mempromosikan Kampung Kiau Taburi sebagai destinasi eko-pelancongan dan menggiatkan semula aktiviti pelancongan berasaskan komuniti di kawasan itu yang melibatkan tiga buah kampung.



Beliau berkata, sukan berbasikal yang akan diadakan sebagai acara tahunan pastinya dinanti-nantikan oleh para peminat sukan lasak di Sabah.


“Saya mendapat idea menganjurkan program ini di Kampung Kiau untuk membantu komuniti kampung mempromosikan inap desa dan eko pelancongan kawasan ini,” katanya.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page