top of page

Sabah FC Terus Mantapkan Persiapan Pra Musim

  • nabalunews
  • Jul 27, 2025
  • 1 min read

27 Julai 2025


KOTA KINABALU: Sabah FC meneruskan momentum positif dalam siri perlawanan pra musim apabila berjaya menewaskan DPMM FC (Brunei) dengan keputusan 3-1 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Likas malam tadi.


Jurulatih Sabah FC, Alto Linus menyifatkan kemenangan itu sebagai satu keputusan yang membanggakan namun masih terdapat beberapa aspek permainan yang perlu diperbaiki menjelang sepak mula Liga Malaysia musim 2025/2026.


“Saya berpuas hati dengan persembahan semua pemain, sama ada mereka yang bermula di separuh masa pertama mahupun yang masuk sebagai pemain gantian. Mereka bermain mengikut apa yang saya harapkan,” katanya.

Tambah beliau, perlawanan ini merupakan sebahagian daripada usaha memantapkan kecergasan perlawanan (match fitness) pasukan sebelum tirai liga dibuka awal Ogos nanti.


“Secara keseluruhan saya gembira dengan corak permainan yang dipersembahkan, walaupun masih ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki. Saya mahu semua pemain bersedia sepenuhnya dan terus kekal konsisten untuk mendapatkan keputusan positif dalam setiap perlawanan,” jelas Alto lagi.


Kemenangan ke atas DPMM FC melengkapkan dua kemenangan pra musim di laman sendiri, selepas Sabah FC membenam Kasuka FC 4-0 minggu lalu. Sebelum itu, skuad The Rhinos mengalami kekalahan besar 2-8 di tangan Buriram United dalam aksi di Stadium Pattani.

Sabah FC dijadualkan terus mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan bagi memperkemas persiapan akhir menjelang kempen Liga Malaysia 2025/2026.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page