top of page

Sabah FC Sedia Uji Kekuatan Menentang Gergasi Thailand – Alto Linus

  • nabalunews
  • Jul 13, 2025
  • 2 min read

13 Julai 2025


PATTANI: Jurulatih Sabah FC, Alto Linus menyifatkan perlawanan persahabatan menentang Buriram United FC sebagai satu penghargaan besar buat pasukannya, walaupun tidak layak menyertai saingan Shopee Cup musim ini.


Menurut beliau, jemputan menyertai Asean Charity Shield 2025 menentang salah satu pasukan paling berjaya di Asia Tenggara itu menjadi platform penting dalam usaha pasukan membentuk keserasian serta memperkukuh pemahaman taktikal menjelang musim Liga Malaysia yang akan datang.


“Walaupun kami tidak layak bermain dalam Shopee Cup, tetapi bagi saya ini satu penghargaan kerana kita dijemput untuk menentang pasukan Buriram United FC dalam saingan Asean Charity Shield 2025. Seperti yang kita tahu, pasukan ini terkenal dengan kekuatan mereka di rantau ini. Ini adalah perlawanan yang baik untuk membentuk keserasian pemain serta pemahaman terhadap taktikal yang kita terapkan untuk musim baru,” katanya kepada media dalam sesi pratonton perlawanan di Stadium Rainbow, Pattani, hari ini.

Perlawanan menentang Buriram merupakan aksi persahabatan kedua Sabah FC selepas menewaskan Kasuka FC dari Brunei dalam perlawanan sulung pramusim. Alto menegaskan bahawa perlawanan-perlawanan ini amat penting dalam membina kombinasi yang mantap antara pemain baharu dan pemain sedia ada.


“Bagi saya, dua perlawanan ini adalah medan terbaik untuk membentuk keserasian antara pemain baharu dan lama. Fokus utama kami buat masa ini adalah meningkatkan tahap kecergasan fizikal pemain,” ujarnya lagi.


Beliau turut mendedahkan bahawa pasukannya merancang untuk mengadakan tiga hingga empat lagi perlawanan persahabatan pramusim bagi menilai prestasi setiap pemain sebelum menyenaraikan kesebelasan utama yang akan membawa cabaran Sabah FC pada musim 2025/26.

“Kami masih memerlukan beberapa perlawanan lagi untuk membuat penilaian penuh. Dari situ kita akan tahu siapa yang benar-benar bersedia untuk menggalas tanggungjawab dalam kesebelasan utama,” tambah Alto.


Sabah FC menamatkan musim lalu dengan prestasi yang membanggakan, dan cabaran untuk mengekalkan momentum itu bukanlah sesuatu yang mudah. Namun begitu, Alto Linus tetap optimis dan yakin dengan perancangan serta komitmen yang ditunjukkan oleh pasukan teknikal dan para pemain.


“Sudah tentu satu cabaran besar untuk mengekalkan kedudukan yang dicapai musim lalu. Tapi kita tetap positif dengan apa yang sedang kita lakukan sekarang demi memperkuat pasukan untuk musim baharu,” katanya.

Perlawanan menentang Buriram United FC dijadual berlangsung pada pukul 6 petang ini (7:00 malam waktu Malaysia) di Stadium Rainbow, Pattani, Thailand. Ia dijangka menjadi ujian sebenar buat The Rhinos dalam usaha mereka meraih keserasian serta ketajaman awal sebelum sepak mula musim baharu Liga Super Malaysia.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page