17,565 Kes tiada lesen dan tamat tempoh - JPJ Sabah
- nabalunews
- 51 minutes ago
- 2 min read

31 Oktober 2025
KOTA KINABALU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan sebanyak 17,564 kes kesalahan pengguna jalan tidak mempunyai lesen dan tamat tempoh sepanjang tempoh 10 bulan tahun ini.
Pengarah JPJ Sabah, Datuk Mohd Harris Ali, berkata, alasan paling kerap diberikan pemandu ialah terlupa memperbaharui lesen memandu, walaupun pelbagai peringatan dan kemudahan sudah disediakan oleh JPJ.
Katanya, pihak JPJ sebaliknya sering mengingatkan pengguna jalan supaya lebih peka kerana apabila berlaku kemalangan kerana mereka perlu menanggung risiko besar sekiranya lesen dan insurans tamat tempoh.

"Saya menyeru semua pengguna jalan raya supaya menyemak tarikh luput lesen dan melakukan pembaharuan segera bagi mengelak tindakan undang-undang serta kesan lebih buruk sekiranya berlaku kemalangan.
"Kini, pembaharuan boleh dibuat dengan mudah menerusi aplikasi MyJPJ, malah lesen boleh diperbaharui sehingga tempoh 10 tahun. Ambillah peluang ini dan pastikan kita tidak melanggar undang-undang jalan raya demi keselamatan diri dan orang lain," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Operasi Bersepadu di Jalan Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, malam tadi.

Mohd Harris berkata, kesalahan kedua tertinggi pula melibatkan lesen kenderaan motor tamat tempoh sebanyak 14,530 kes, diikuti tiada perlindungan insurans sah (10,452 kes) dan lesen vokasional tamat tempoh (3,681 kes).
"Secara keseluruhan 412,475 kenderaan diperiksa di seluruh negeri dalam tempoh berkenaan, dengan 40,097 kenderaan diambil tindakan serta 85,171 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya.
"Dalam tempoh itu, pihak JPJ juga telah menyita 203 kenderaan turut atas pelbagai kesalahan," katanya
Menurutnya, antara kesalahan berjadual utama yang dikuatkuasakan termasuk tidak mematuhi had laju, melanggar isyarat lalu lintas, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan serta menggunakan telefon bimbit ketika memandu.
Beliau berkata, antara kesalahan berjadual utama yang dikuatkuasakan termasuk tidak mematuhi had laju, melanggar isyarat lalu lintas, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan serta menggunakan telefon bimbit ketika memandu.
Sementara itu, bagi Operasi Bersepadu malam tadi, Mohd Harris berkata, sebanyak 904 kenderaan berjaya diperiksa oleh pasukan penguat kuasa pelbagai agensi.
"Daripada jumlah itu, JPJ mengeluarkan 136 saman mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala satu kenderaan turut disita dalam misi pemeriksaan petang tadi.
"Selain itu, tujuh saman dikeluarkan atas kesalahan teknikal, manakala satu kenderaan didapati tiada perlindungan insurans yang sah," katanya.
Operasi bersepadu itu turut membabitkan penyertaan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).














