PPM Rampas 17,850 Liter Minyak Diesel Seludup
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

17 Mac 2026
KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya merampas 17,850 liter minyak diesel dalam serbuan di sebuah premis tidak bernombor di Jalan Bunga Raya, semalam.
Operasi serbuan kira-kira jam 8 malam itu dilaksanakan hasil maklumat awam menerusi Op Taring Gelora Aidilfitri.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Ahmad Amri Abd Rahman berkata, pemeriksaan di lokasi berjaya menemukan beberapa kenderaan dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, tiga lelaki tempatan turut ditahan selepas disyaki terlibat secara langsung dalam kegiatan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati lima kenderaan diubah suai dengan pemasangan tangki simpanan tambahan bagi tujuan menyimpan dan memindahkan minyak diesel secara haram.
“Pasukan turut menemukan sebuah tangki simpanan minyak jenis ‘skid tank’ yang mengandungi kira-kira 16,000 liter diesel,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, secara keseluruhan pasukan berjaya merampas sebanyak 17,850 liter minyak diesel yang dianggarkan bernilai RM76,755.
Menurutnya, turut dirampas lima kenderaan yang telah diubah suai serta sebuah tangki simpanan minyak dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM325,205.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sehubungan itu, Ahmad Amri berkata, PPM akan terus memperhebat operasi bagi membanteras kegiatan penyelewengan barang kawalan yang memberi kesan kepada ekonomi serta kesejahteraan rakyat.
“Orang awam juga disarankan agar terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi memastikan kegiatan seperti ini dapat dibanteras sepenuhnya,” katanya.















Comments