top of page

17 VARIETI BENIH PADI DIISYTIHAR KERAJAAN SEJAK TAHUN 2008

  • nabalunews
  • Nov 9, 2020
  • 2 min read

9 Nov 2020

KUALA LUMPUR: Terdapat 17 jenis varieti benih padi diisytihar oleh kerajaan sejak tahun 2008 dengan 15 varieti dihasilkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), manakala dua varieti dihasilkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata varieti benih padi itu terdiri daripada padi biasa atau inbred, padi wangi, padi warna, padi rintang racun herba dan padi aerobik.

"Pada masa ini varieti benih padi yang mendapat sambutan baik oleh pesawah ialah MARDI SIRAJ 297 yang diisytihar pada tahun 2016, dan dianggarkan sebanyak 43.2 peratus pesawah di Semenanjung Malaysia menggunakan varieti ini.

"Selain itu, varieti benih padi yang mendapat permintaan pesawah ialah MR 220 CL-2 (diisytihar pada tahun 2010), MR 269 (diisytihar pada tahun 2012) serta MR 303 dan MR 307 yang masing-masing diisytihar pada tahun 2018," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Kiandee berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani) yang mahu tahu mengenai jumlah benih padi baharu yang telah dihasilkan oleh pusat-pusat penyelidikan sejak 2008 sehingga kini, tanamannya dan hasilnya per hektar.

Menjelas lanjut, Kiandee memberitahu potensi hasil bagi kesemua varieti padi biasa adalah sekitar enam hingga sembilan tan sehektar dan hasil itu bergantung kepada lokaliti dan pakej pengurusan yang digunakan oleh pesawah.

"Selain itu, prestasi hasil bagi varieti padi wangi MRQ 76 yang diisytihar pada tahun 2010 adalah sekitar lima tan sehektar," katanya.

Menurutnya lagi, MARDI juga telah menghasilkan dua varieti benih padi baharu iaitu MR 315 (varieti padi biasa/beras putih biasa dengan potensi hasil di antara tujuh hingga sembilan tan sehektar dan sesuai ditanam di seluruh jelapang dan luar jelapang) dan MRQ 104 (varieti padi wangi atau beras wangi yang dihasilkan bagi memenuhi keperluan penghasilan beras wangi tempatan yang pada masa ini menggunakan varieti padi wangi MRQ 76.).

"Ini adalah sebagai pilihan tambahan kepada petani dan pengilang memandangkan beras istimewa ini mempunyai permintaan tempatan yang tinggi. Kedua-dua varieti benih padi baharu sedang dibiak benih (benih daftar) dan dijangka diisytihar apabila benih padi sah mencukupi pada musim utama 2021/2022," katanya.

Sementara itu beliau berkata kementerian melalui MARDI dan agensi-agensi lain yang berkaitan serta institut pengajian tinggi sentiasa proaktif membangunkan varieti benih padi baharu dengan mengambil kira perubahan persekitaran bagi meningkatkan pengeluaran hasil padi.

"Kementerian komited untuk meningkatkan pengeluaran beras negara melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) varieti benih padi baharu bagi memastikan tahap sara diri (SSL) dapat dicapai sehingga 75 peratus seperti yang digariskan dalam cadangan Kertas Strategi RMK12 (Rancangan Malaysia ke-12) bagi industri padi.

"Kerajaan juga sedang memberi penekanan khusus bagi meningkatkan perbelanjaan dan pelaburan awam untuk tujuan R&D pertanian termasuk bagi memastikan kelestarian pengeluaran varieti padi baharu dalam usaha meningkatkan kecekapan pengeluaran dan produktiviti hasil pertanian pada masa hadapan," katanya.

Dalam pada itu, Kiandee berkata pengeluaran benih padi sah negara pada ketika ini melalui sembilan pengeluar benih padi sah yang diiktiraf kerajaan adalah pada tahap 74,000 tan metrik bagi setiap musim dan keperluan pesawah di seluruh negara adalah 72,000 tan metrik. – Bernama

Comentarios


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page