top of page
Wartawan Nabalu News

172 koperasi terlibat dalam agromakanan sehingga 31 Disember 2022



1 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Sebanyak 172 koperasi terlibat secara khusus dalam sektor agromakanan sehingga 31 Disember lalu, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Senator Saraswaty Kandasamy.


Beliau berkata, ia meliputi aktiviti penternakan, perikanan, tanaman dan pembekalan input pertanian.


“Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) komited membantu usaha Kerajaan memastikan keterjaminan makanan negara melalui penglibatan koperasi dalam sektor agromakanan,” dalam sesi soal jawab, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.


Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Haji Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) yang bertanya keterlibatan serius koperasi berkaitan sektor agromakanan bagi membantu negara menghadapi bekalan makanan pada masa sekarang dan akan datang.


Saraswaty berkata, bagi meningkatkan lagi penglibatan dan sumbangan koperasi dalam sektor agromakanan, KUSKOP melalui SKM telah mengambil pelbagai inisiatif.


“Antaranya menyediakan pembiayaan modal pusingan agromakanan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM100 juta.


“Koperasi yang layak, boleh memohon pembiayaan sehingga RM3 juta bagi mengembang atau memperluaskan projek berkaitan pengeluaran makanan pertanian utama (upstream), pemprosesan atau pengilangan agromakanan atau aktiviti hiliran makanan.


“Selain itu SKM juga menyediakan geran bantuan pembangunan sehingga RM300,000 kepada koperasi yang berkelayakan bagi mengukuh dan mengembangkan aktiviti perniagaan koperasi termasuk aktiviti pertanian,” katanya.


Saraswaty berkata, kementerian itu juga mewujudkan Federasi Koperasi Pertanian dan lndustri Asas Tani Malaysia Berhad bertujuan menggembleng sumber modal, kepakaran, kemahiran dan tenaga profesional koperasi pertanian bagi melaksanakan aktiviti pada skala yang lebih besar dan menguasai aktiviti di sepanjang rantaian bekalan.


Beliau berkata, bagi mengenal pasti isu dan cabaran serta memperincikan strategi pemerkasaan koperasi dalam aktiviti ternakan ayam, kementerian telah mengadakan sesi libat urus bersama koperasi-koperasi dalam sektor ini pada 12 Januari lalu.


Di samping itu katanya, kementerian juga mengadakan kerjasama strategik dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk mengoptimumkan potensi sumber melibatkan kedua-dua Kementerian.


“Kerjasama strategik ini antaranya bertujuan menyokong transformasi dan permodenan projek pertanian oleh sektor koperasi yang akan menyumbang kepada keterjaminan pengeluaran makanan negara,” katanya.

Comments


bottom of page