190 aduan diterima Bank Negara berkait perubahan premium MHIT
- nabalunews
- 6 minutes ago
- 2 min read

6 November 2025
KUALA LUMPUR: Sebanyak 190 aduan berkait perubahan premium produk Insurans Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) diterima oleh Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi BNM Link setakat ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, daripada jumlah itu, 94 peratus atau 179 aduan telah berjaya diselesaikan oleh pihak operator insurans dan takaful (ITO).
Katanya, kerajaan akan terus memantau pelaksanaan langkah-langkah interim dalam tempoh tiga tahun ini bagi membantu pemegang polisi yang terkesan dengan perubahan premium MHIT akibat inflasi kos perubatan.
Lim menegaskan mana-mana ITO yang gagal mematuhi langkah ditetapkan bakal berdepan tindakan.
“Sebagai langkah kawalan sepanjang tempoh interim ini, pihak ITO dikehendaki mengemukakan semua maklumat yang diperlukan kepada pihak BNM untuk semakan sebelum melaksanakan pelarasan semula premium MHIT.
“BNM tidak membenarkan pihak ITO untuk melaksanakan sebarang pelarasan semula premium jika cadangan tersebut tidak mematuhi langkah interim sepenuhnya,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) berhubung jumlah kes syarikat insurans yang didapati melanggar langkah interim, jenis pelanggaran dan bentuk tindakan BNM ke atas syarikat terbabit.
Menurut Lim, sasaran awal yang ditetapkan terhadap langkah interim adalah memastikan 80 peratus pemegang polisi tidak akan mengalami pelarasan premium melebihi 10 peratus yang disebabkan kos inflasi perubatan.
Berdasarkan data terkini, katanya, menunjukkan pencapaian melebihi sasaran awal yang ditetapkan apabila lebih daripada 90 peratus pemegang polisi mengalami pelarasan premium kurang daripada 10 peratus pada tahun pertama.
“Sebilangan kecil pemegang polisi yang mengalami pelarasan premium lebih tinggi melibatkan produk yang telah lama tidak disemak harganya. Bagi kumpulan ini, pihak ITO telah menyediakan pilihan pelan alternatif lebih mampu milik untuk dipertimbangkan oleh pemegang polisi.
“Tambahan pula, terdapat juga pemegang polisi MHIT yang mengalami kenaikan premium disebabkan oleh perubahan umur. Pelarasan premium akibat peralihan umur telah dimaklumkan kepada pemegang polisi semasa pembelian dibuat,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata pemegang polisi yang mempunyai pertikaian mengenai pelarasan premium mereka disarankan untuk merujuk kepada ITO berkaitan terlebih dahulu, dan sekiranya masih tidak berpuas hati boleh menghubungi BNM Link untuk diselesaikan mengikut kes.


















Comments