- nabalunews
2 ‘keldai’ dadah ditahan, syabu lebih 20 kg bernilai lebih RM660,000 dirampas Kastam Sabah
5 Ogos 2024
KOTA KINABALU: Dua lelaki termasuk seorang remaja yang dipercayai diperalatkan sebagai ‘keldai’ dadah berjaya ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah bersama lebih 20 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM667,729.44 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan Lapangan Terbang Tawau pada 30 Julai lalu.
Menurut laporan Info X, kegiatan menyeludup masuk dadah yang dilakukan kedua-dua lelaki tempatan berusia 18 dan 29 tahun itu yang masuk ke Sabah dari Semenanjung Malaysia secara berasingan berjaya dikesan ketika mereka cuba melepasi pemeriksaan di dua lapangan terbang di Tawau dan Kota Kinabalu sebaik tiba dari Semenanjung Malaysia.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Sabah, Siti Mang berkata, suspek pertama ditahan pada jam 12.30 tengah hari di Lapangan Terbang Tawau.
Katanya, hasil imbasan imej terhadap beg suspek, pihaknya mengesan 10 bungkusan plastik hijau kuning jenama ‘Guangyiwang’ yang mencurigakan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati, semua bungkusan berkenaan berisi 10.199 gram dadah berbahaya yang dianggarkan bernilai RM326,389.
“Suspek terus ditahan bersama dadah berkenaan untuk siasatan dan tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang media di Wisma Penguatkuasaan Sepanggar, di sini, hari ini.
Siti berkata, bertindak atas maklumat, suspek kedua berjaya ditahan kira-kira jam 1 petang ketika cuba melepasi pemeriksaan mesin imbasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).
Katanya, pemeriksaan mendapati suspek membawa bagasi berisi 10 bungkusan mengandungi dadah seberat keseluruhan 10.194 gram.
“Suspek seorang remaja lelaki berusia 18 tahun dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenalpasti sama ada dia mempunyai hubung kait dengan suspek pertama.
“Kedua-dua kes ini juga sedang dalam siasatan lanjut untuk mengesan sebarang jaringan sindiket yang lebih besar dan memastikan tindakan undang-undang diambil terhadap mereka yang terbabit,” katanya.
Katanya lagi, modus operandi bagi kes ini adalah menggunakan bungkusan plastik warna hijau jenama ‘Guanyinwang’ yang diseludup masuk ke dalam negara melalui kapal penumpang.
“Kedua-dua kes berkenaan sedang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan,” katanya.
Sementara itu, Siti berkata, aktiviti penyeludupan bukan saja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
Sehubungan itu orang ramai disarankan supaya bekerjasama memerangi jenayah penyeludupan dengan menyalurkan maklumat di talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855.
“Kastam juga turut memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya.
Kommentare