top of page
Wartawan Nabalu News

21 bangunan awam kampung di Penampang dikenalpasti diwarta PPS: Ewon


Ewon ketika ditemui pemberita selepas majlis ringkas penyampaian sumbangan kanopi kepada peniaga kecil Tamu Donggongon.

13 November 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Sebanyak 21 bangunan awam kampung di seluruh Penampang dikenalpasti untuk diwartakan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) semasa banjir, kata Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick.


Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, pewartaan pusat pemindahan itu penting bagi memudahkan penduduk kampung berkenaan berpindah jika berlaku bencana banjir.


Katanya, ia adalah antara persiapan menghadapi bencana banjir selain pelaksanaan berterusan projek tebatan banjir di Penampang.


“Kita telah mengadakan perbincangan dalam Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (Penampang) untuk mewartakan sekitar 21 bangunan awam, bangunan komuniti seperti Dewan Terbuka dan bangunan awam lain di kampung-kampung yang sering dilanda banjir, supaya semasa banjir penduduk kampung itu hanya perlu dipindahkan ke tempat tersebut.


“Selama ini, jika berlaku banjir di mana-mana kampung di Penampang, pusat pemindahan hanya satu iaitu Pusat Kebudayaan Penampang.


“Oleh itu, saya telah telah meminta dan akhirnya telah diputuskan di Jawatankuasa Pembangunan Daerah supaya 21 bangunan awam lain di seluruh Penampang dapat diwartakan sebagai pusat pemindahan sementara, sewaktu musim banjir,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis ringkas penyampaian sumbangan kanopi kepada wakil penjaja dan peniaga kecil-kecilan Tamu Donggongon, di sini, hari ini.


Ewon mengakui kesukaran pihak pasukan penyelamat memindahkan dan menyelamatkan mangsa banjir di kampung-kampung yang jauh daripada Pusat Kebudayaan Penampang.


“Saya telah melihat sendiri operasi menyelamat dan tidak praktikal untuk pasukan penyelamat dari Pusat Kebudayaan (pusat pemindahan sementara) masuk ke kampung-kampung dalam keadaan bergelap dan dalam keadaan arus banjir yang kuat, seperti yang berlaku pada Jun dan Julai lepas.


“Sebab itu salah satu solusi yang telah kita persetujui adalah mewartakan pusat pemindahan di kampung mereka,” katanya.


Mengenai pelaksanaan projek tebatan banjir di Penampang, Ewon berkata, ia sedang berlangsung, “saya sendiri membawa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Sri Fadillah Yusof awal tahun ini untuk meninjau projek tebatan banjir Sungai Moyog yang terlewat kerana beberapa faktor”.


“Antaranya ada penghuni rumah yang tidak mahu berpindah di sepanjang laluan projek yang sedang dilaksanakan dalam Pakej 1 dan 3.


“Tujuan saya membawa Timbalan Perdana Menteri untuk meninjau ialah untuk saya mendapatkan komitmen beliau dan menyokong supaya fasa yang seterusnya iaitu Pakej 2 dan 4 itu boleh dilaksanakan,” katanya.


Ewon berkata, selain itu, projek pembesaran dan pendalaman sungai atau parit di kawasan Pekan Dongongon daripada Bomba Penampang sehingga ke Kampung Hungab yang tertangguh beberapa tahun lepas juga telahpun dimulakan hujung tahun lepas.


“Ia memerlukan pemindahan utiliti dan peruntukan dan kita telah tanganinya sepanjang tahun 2023 dan hujung tahun 2023 kerja-kerja pembesaran parit itu mula dilaksanakan. Jadi usaha ini berterusan.


“Kita juga mahu agar pakej seterusnya iaitu pakej 2 dan 4 Projek Tebatan Banjir dapat diteruskan dalam Rancangan Malaysia seterusnya bagi melengkapkan projek Tebatan Banjir Penampang,” katanya.


Ewon berkata, dalam hal ini, beliau telahpun berbincang dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan telah menulis surat secara rasmi untuk meminta komitmen Perdana Menteri.


“Oleh itu saya telah membawa Timbalan Perdana Menteri Datuk Sri Fadillah selaku Menteri yang bertanggungjawab kepada Jabatan Pengairan dan Saliran dan Tebatan Banjir untuk meninjau projek tebatan banjir di Penampang,” katanya.

Comments


bottom of page