top of page
  • Wartawan Nabalu News

25 RUU diluluskan sidang Parlimen satu pencapaian membanggakan: Wan Junaidi



17 Ogos 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


PUTRAJAYA: Sesi sidang Parlimen Malaysia kali ini menjadi satu sejarah membanggakan apabila 25 Rang Undang-Undang (RUU) berjaya diluluskan.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang)  Dato Seri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kesemua 25 Rang Undang-undang yang diluluskan itu berkait rapat dengan kestabilan negara, ekonomi dan kebajikan rakyat.


Selain itu katanya, ia juga melibatkan pelbagai aspek seperti kewangan, pertanian, industri makanan, sumber manusia, pelancongan, jenayah, kehakiman, pertahanan dan kepolisan.

  

“Antaranya undang-undang yang dianggap mempunyai kepentingan kepada semua rakyat dan negara seperti Rang Undang-Undang Pindaan perlembagaan Larangan Ahli Bertukar Parti turut diluluskan dengan majoriti lebih dua pertiga di Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” katanya.


Wan Junaidi berkata, antara Rang Undang-Undang itu adalah Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli; Akta Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Pembubaran) 2021 dibawah Kementerian Dalam Negeri; Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2021 juga dibawah Kementerian Dalam Negeri.


“Akta Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (Pindaan) 2022 di bawah Jabatan Perdana Menteri; Akta Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2022 dibawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan; RUU Antigangguan Seksual 2021 di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.


“Akta Racun (Pindaan) 2022 dibawah Kementerian Kesihatan Malaysia; Akta Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2022 di bawah Kementerian Sumber Manusia; Sistem Insurans Pekerja (Pindaan) 2022 di bawah Kementerian Sumber Manusia dan RUU Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 juga di bawah Kementerian Sumber Manusia,” katanya.


Beliau berkata, selain RUU yang telah diluluskan, terdapat usul yang telah dibawa ke Dewan Rakyat.


Katanya, sebanyak sembilan usul dibahas di Dewan Rakyat dan hanya satu usul dibahas di Dewan Negara iaitu Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA yang telah dibentangkan dalam Mesyuarat Khas Dewan Negara pada 27 Julai 2022.


“Ini adalah selaras dengan peruntukan dalam Akta itu sendiri.


“Semua Rang Undang-Undang yang diluluskan akan menjalani proses yang sewajarnya sebelum ia dapat dikuatkuasakan melalui undang-undang dan penguatkuasaan,” katanya.