top of page

31 kes buli di universiti awam sejak 2014 – Zambry

  • nabalunews
  • Aug 12
  • 2 min read

ree

12 Ogos 2025


KUALA LUMPUR: Sebanyak 31 kes buli direkodkan berlaku di lapan universiti awam (UA) dalam tempoh 11 tahun sejak 2014 hingga tahun ini.


Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, kes yang dilaporkan berbentuk buli fizikal atau buli siber yang boleh berpunca daripada faktor sosial, psikologi, persekitaran kampus, pengaruh media sosial dan kurangnya pengawasan ibu bapa.


Katanya, dalam konteks UA, pelajar yang didapati terbabit dalam kes buli boleh dikenakan tindakan tata tertib di bawah Peraturan 3(1)(a)(2) Kaedah Tatatertib Pelajar yang sudah diseragamkan melalui pindaan pada 2024.


“Pertama, amaran. Kedua, khidmat masyarakat mengikut peraturan yang dibuat Lembaga yang tidak melebihi 24 jam. Ketiga, denda tidak melebihi RM500 dan keempat, dilarang berada dalam mana-mana bahagian kampus untuk satu tempoh serta dibuang atau dilarang untuk tinggal di dalam kediaman siswa.


“Hukuman lain adalah digantung daripada menjadi seorang pelajar universiti bagi suatu tempoh atau dibuang daripada universiti,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.


Beliau menjawab soalan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) berhubung langkah KPT bagi mengekang kejadian buli di institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS).


Zambry berkata, kaedah-kaedah berkenaan turut memperuntukkan hukuman berdasarkan tahap keseriusan kesalahan dan hukuman boleh dikenakan satu atau mana-mana gabungan dua atau lebih hukuman bersesuaian.


Bagi IPTS katanya, Seksyen 33 Akta IPTS 1996 memperuntukkan secara jelas tanggungjawab Ketua Eksekutif IPTS dalam menjalankan penyeliaan am termasuk berkaitan kebajikan dan disiplin dan juga usaha pencegahan dan pengendalian kes buli secara menyeluruh.


“KPT tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk buli atau kekerasan yang berlaku di institusi pendidikan tinggi (IPT) di bawah seliaan kementerian ini.


“KPT tidak akan melindungi pelaku dan akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berwajib untuk menjalankan siasatan secara telus dan profesional bagi kes buli yang dilaporkan berlaku di IPT,” katanya.


Dalam pada itu, Zambry turut menyatakan komitmen kementerian untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan pelajar di kampus sentiasa terpelihara.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page