top of page
nabalunews

4 usul diluluskan dalam mesyuarat tahunan Gagasan Rakyat Melalap




27 September 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


TENOM: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Melalap meluluskan empat usul dengan bahas pada Mesyuarat Tahunan Parti kali ke 2 tahun 2024 di Dewan Sekolah Menengah Tshung Tsin di sini, baru-baru ini.


Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Melalap Datuk Jamawi Jaafar berkata, empat usul itu membabitkan Tanah, Pendidikan, Pembangunan Pekan Melalap dan Ekonomi.


Katanya, usul yang hangat dibahaskan adalah tanah di beberapa buah kampung di Mukim Entabuan yang sudah lama diduduki oleh penduduk dan terletak

dalam kawasan Hutan Simpan Kelas 2 Mandalom.


"Usul ini menjadi hangat kerana penduduk di kampung-kampung yang terkandung dalam hutan simpan kini sudah mendapat notis untuk keluar dari kawasan hutan simpan.


"Kebanyakan kampung-kampung ini terletak di Mukim Entabuan di Hutan Simpan Mandalom dan juga Hutan Simpan Entabuan," katanya.


Jamawi berkata demikian kepada media selepas mesyuarat tahunan Gagasan Rakyat Melalap yang dirasmikan oleh Presidennya Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang juga Ketua Menteri dan Pemgerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS).


Katanya, masyarakat di kawasan Melalap terkeluar daripada tanah-tanah komersial yang bernilai tinggi kerana tanah berkenaan dimiliki oleh syarikat gergasi yang berpengkalan di Semenanjung Malaysia.


"Justeru itu mereka duduk di kawasan hutan simpan kemudian sekarang mendapat notis untuk keluar dari kawasan hutan simpan, inilah masalah yang timbul dan kita minta supaya mana-mana kawasan kampung yang telahpun diwujudkan di kawasan hutan simpan supaya dapat diwartakan sebagai kawasan perkampungan" katanya.


Turut menghangatkan usul tanah adalah

berkenaan tanah peneroka Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) di Lagud Seberang yang mana sebahagian besar mereka telahpun melunaskan pembayaran bulanan untuk tanah-tanah tersebut.


Namun begitu setelah lebih 15 tahun pembayaran itu dilunaskan, geran tanah penduduk masih belum dikeluarkan.


Menurut Jamawi, Ketua Menteri telahpun memaklumkan dalam perjumpaan dengan ketua peneroka LIGS bahawa beliau akan mengarahkan Jabatan Tanah dan juga Hasil Bumi untuk mempercepatkan proses pengeluaran geran tanah tersebut.


"Begitu juga dengan kawasan perkampungan yang termasuk dalam kawasan hutan simpan, Ketua Menteri memberi jaminan, kerajaan akan menyelesaikan masalah ini," katanya.

Comments


bottom of page