- nabalunews
44 orang menyertai UPKO di Tenom
7 Ogos 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
TENOM : Tertarik dengan perjuangan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), seramai 44 orang yang diketuai oleh Peter Pairin memilih untuk menyertai parti UPKO cawangan Kampung Tukalilan, Melalap, Bahagian Tenom.
Menurut Peter, mereka memilih UPKO sebagai wadah perjuangan politik kerana melihat UPKO begitu konsisten memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat pelbagai kaum di Sabah, selain sentiasa memberi ruang kepada pemimpin muda untuk bersama sama dalam barisan kepimpinan parti.
"Selain itu kami tertarik dengan kepimpinan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick yang sentiasa mendampingi rakyat dan turun padang memastikan permasalahan di kawasan beliau dapat ditangani dan dibantu dengan sebaik-baiknya" katanya.
Sebagai contoh katanya, ketika Penampang dilanda banjir pada 30 Jun lalu, Ewon berada di lokasi tanpa mengira siang dan malam untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir dengan segera.
"Kami juga melihat pemimpin baharu seperti Ketua UPKO Bahagian Tenom Junik Bajit, di mana banyak yang telah beliau lakukan sepanjang tiga tahun kebelakangan ini khususnya bantuan pendidikan dan kebajikan kepada mereka yang memerlukan" tambahnya.
Ini juga katanya, menarik perhatian mereka menyertai UPKO melalui Bahagian Tenom.
Peter berkata, penyertaan dan sokongan beliau dan rakan-rakan kepada UPKO pasti memberi ruang kepada mereka yang lain di luar sana untuk bersama-sama berjuang dalam parti itu.
Pada masa sama, Peter merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga di atas kehadiran Junik selaku Ketua UPKO Bahagian Tenom bersama dengan Setiausaha UPKO Bahagian Tenom, Razimin Ribin, Setiausaha CLC UPKO Melalap, Jenson Tamiu dan Penyelaras Pusat Daerah Mengundi (PDM), Felix Pirus yang hadir mengalu-alukan penyertaan mereka ke dalam UPKO.
Sementara itu Junik mengalu-alukan penyertaan Peter dan penduduk kampung itu ke dalam UPKO.
Katanya, UPKO adalah sebuah parti untuk semua kaum dan agama dan sentiasa membuka pintu kepada sesiapa sahaja yang mahu bersama dalam perjuangan UPKO Bahagian Tenom.
コメント