• nabalunews

51 PENDATANG TANPA IZIN DITAHAN DALAM OPERASI BENTENG


12 DIS 2020


KUALA LUMPUR: Sejumlah 51 pendatang tanpa izin dan seorang tekong ditahan dalam Operasi Benteng semalam, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata operasi itu, yang melibatkan kerjasama antara Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia turut menyaksikan rampasan enam kenderaan dan dua bot.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutama di lorong-lorong tikus,” menurutnya dalam kenyataan berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Pemulihan (PKPP) hari ini. Beliau juga berkata sebanyak 241 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan PKP semalam dengan 202 orang dikompaun manakala 39 lagi ditahan reman membabitkan kesalahan seperti gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (78), tidak memakai pelitup muka (77), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (43), aktiviti pusat hiburan (41) dan lain-lain (2).

Mengenai kuarantin wajib, Ismail Sabri berkata sebanyak 86,398 individu pulang ke tanah air sejak 24 Julai hingga semalam dan mereka ditempatkan di 78 hotel serta 19 institut latihan awam seluruh negara.

Menurutnya daripada jumlah itu, sebanyak 12,827 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, 543 orang dihantar ke hospital untuk rawatan manakala 73,028 lagi dibenarkan pulang.

Bagi operasi sanitasi awam pula, sebanyak 39 operasi diadakan di 11 negeri iaitu Sabah (sembilan operasi), Melaka (sembilan), Johor (empat), Sarawak (empat), Kedah (tiga), Perak (tiga), Selangor (dua), Pahang (dua), Terengganu (satu), Pulau Pinang (satu) dan Perlis (satu).

Mengulas mengenai barangan keperluan asas, Ismail Sabri berkata penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna melakukan 525 pemeriksaan khas pematuhan prosedur operasi standard PKPP di 689 premis perniagaan termasuk peruncit (518), pemborong (143) dan pengilang (28) semalam. - Bernama

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com