top of page
  • nabalunews

51 rumah setinggan dirobohkan di sekitar Kota Kinabalu

23 Julai 2024


KOTA KINABALU : Operasi membanteras masalah setinggan di Sabah terus diperhebatkan apabila 51 struktur haram itu dirobohkan menerusi Op Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Bersepadu Mega di sebuah penempatan di Kota Kinabalu, petang tadi.


Operasi bermula 3.30 petang itu turut menahan enam individu termasuk empat wanita warga Filipina kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.


Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, operasi yang berakhir jam 5.20 petang itu menyaksikan sejumlah 51 rumah setinggan berjaya dirobohkan.


“Dalam operasi itu juga, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menahan enam individu warga Filipina dan mengikut pecahan dua lelaki dan empat wanita berusia lingkungan 25 hingga 50 tahun.


“Tangkapan PATI akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) dan Seksyen 51(C) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Menurutnya, operasi ini adalah kerjasama agensi bantuan daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN); Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA); Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM); Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB); Jabatan Air Negeri Sabah (JANS); Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).


“Operasi ini akan berterusan pada masa akan datang dalam usaha membanteras jenayah, PATI, dadah dan gejala sosial di daerah ini,” katanya.

Comments


bottom of page