62.5 peratus graduan bekerja dalam bidang dipelajari – Mustapha
- nabalunews
- Sep 8, 2025
- 2 min read

8 September 2025
KUALA LUMPUR: Sebanyak 62.5 peratus atau 134,029 graduan negara ini bekerja dalam bidang yang mereka pelajari berdasarkan data tahun lalu, meningkat 4.6 peratus dari tahun 2021.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata, statistik berkenaan menunjukkan terdapat penurunan daripada segi graduan yang bekerja di luar bidang.
“Manakala graduan yang bekerja dalam kategori mahir pada tahun 2024 adalah sebanyak 110,162 orang atau 66.2 peratus, iaitu peningkatan 4.1 peratus dari tahun 2021.
“Ini menunjukkan terdapat penurunan dari segi garaduan yang bekerja tidak setara dengan kelayakan pendidikan,” katanya di Dewan Negara hari ini ketika menjawab soalan Senator Datuk Koh Nai Kwong.
Koh ingin tahu berhubung laporan terdapat lebih 2 juta lepasan graduan bekerja di luar bidang atau dalam pekerjaan tidak setaraf dengan pendidikan sedangkan masih ramai pelajar ditawarkan bidang pengajian yang memerlukan kajian semula berkaitan permintaan dalam pasaran kerja semasa.
Mustapha berkata, bagi kategori graduan belum bekerja dalam kumpulan umur 21 hingga 25 tahun pada tahun 2024 pula seramai 11,164 orang atau 7.3 peratus, menurun berbanding 24,443 orang atau 16.1 peratus pada 2021.
“Bagi mengatasi isu ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyambut baik sasaran keberhasilan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) 2026-2030 yang telah ditetapkan untuk mencapai 70.1 peratus kadar graduan bekerja setara dengan kelayakan pendidikan,” katanya.
Dalam pada itu katanya, KPT sentiasa mengambil langkah proaktif untuk memastikan keperluan dan permintaan industri dipenuhi melalui pengambilan pelajar yang terancang.
Antara langkah diambil, katanya adalah menerusi kerjasama strategik dengan agensi kerajaan termasuk TalentCorp, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
“Agensi-agensi ini mempunyai data yang dapat digunakan untuk mengenal pasti sektor yang memerlukan intervensi dalam penyedian bakat,” ujarnya.
Selain itu, Jawatankuasa Khas Pendidikan Tinggi (JKPT) yang melibatkan pelbagai pihak termasuk pakar tempatan berpengalaman luas akan mempertimbangkan dan membuat syor terhadap permohonan akademik baharu serta semakan kurikulum program akademik sedia ada.
Beliau berkata, mekanisme tersebut membolehkan KPT melaksanakan semakan sebelum program akademik diluluskan agar dapat memenuhi keperluan industri secara menyeluruh.
Di peringkat universiti awam pula, katanya Majlis Penasihat Industri-Universiti (IAP) memainkan peranan penting memastikan program akademik ditawarkan berkualiti serta kekal relevan dengan kehendak pasaran.















Comments