763 syarikat terima Anugerah E50, 67 kini tersenarai di Bursa Malaysia: Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

763 syarikat terima Anugerah E50, 67 kini tersenarai di Bursa Malaysia: Ewon



27 Februari 2024

Oleh Wartawan Nabalu News

 

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, sehingga kini sebanyak 763 syarikat perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) telah menerima Anugerah Enterprise 50 (E50) sejak 1997 sehingga 2022.

 

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 67 syarikat PMKS tersenarai di Bursa Saham ketika ini.

 

“Program Enterprise 50 (E50) adalah anugerah 50 syarikat PMKS terbaik di negara kita, satu pengiktirafan daripada kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang kita adakan sekali dalam setiap dua tahun.

 

“Kita mengadakan sekali dalam dua tahun kerana kita mahu mengekalkan kualiti anugerah ini yang diperkenalkan sejak tahun 1997.

 

“Pada tahun ini kita akan membuka pendaftaran Anugerah E50 secara atas talian sesuai dengan amalan ESG yang kita lancarkan pada 5 Feb lalu iaitu Garis Panduan kepada PMKS,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Program E50, di sini, hari ini.

 

Ewon berkata, antara syarat kelayakan syarikat untuk menyertai Anugerah E50 ialah memenuhi definisi PMKS, mendapat penerafan 4 dan 5 bintang di bawah Program SCORE, tidak tersenarai di Bursa Malaysia, anak syarikat tidak layak sekiranya syarikat induk telah mengambil bahagian.

 

Katanya, manfaat yang akan diperolehi oleh syarikat yang mendapat Anugerah E50 ialah diiktiraf 50 PMKS terbaik di Malaysia, penjenamaan sebagai syarikat yang berprestij dan syarikat berkenaan boleh menggunakan Logo E50.

 

“Selain itu syarikat PMKS itu juga diberi keutamaan program SME Corp termasuk sesi Padanan Perniagaan dan dikenal pasti sebagai berpotensi untuk tersenarai di Bursa Malaysia,” katanya.

 

Beliau berkata, sejak anugerah itu diperkenalkan, sejumlah 2,225 PMKS telah menyertai progam ini dan sebanyak 763 syarikat telah menerima anugerah E50.

bottom of page