top of page

8.6 juta rakyat terima bayaran STR Fasa 3 mulai esok

  • nabalunews
  • 6 hours ago
  • 1 min read

ree

11 Ogos 2025


PUTRAJAYA: Kerajaan akan menyalurkan pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 kepada penerima bermula esok, membabitkan seramai 8.6 juta rakyat di seluruh negara.


Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini berkata, jumlah bayaran adalah sehingga RM650 melibatkan peruntukan RM2 bilion bagi meringankan beban kos sara hidup isi rumah berpendapatan rendah.


Katanya, jumlah penerima Fasa 3 meningkat 300,000 orang berbanding 8.3 juta penerima Fasa 1 pada Januari lalu, hasil daripada langkah kerajaan membuka permohonan baharu dan rayuan sepanjang tahun bagi memastikan bantuan sampai kepada semua yang layak.

ree

“Pembukaan permohonan dan rayuan sepanjang tahun menunjukkan Kerajaan MADANI tidak mengambil enteng amanah yang dipikul untuk meningkatkan maslahat rakyat terbanyak, agar tiada yang tercicir daripada mengecapi limpahan negara.


“Lebih daripada bantuan tunai semata-mata, STR memberi suntikan kepada penerima untuk mencapai kebebasan kewangan, agar kita dapat menggapai kesaksamaan yang didambakan dalam Ekonomi Madani,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan.


Menurut MOF, pembayaran STR Fasa 3 akan dibuat kepada penerima sedia ada dan penerima baharu yang berdaftar dalam pangkalan data STR melalui pengkreditan ke dalam akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat mengikut kategori kelayakan masing-masing.


Pemohon yang namanya tidak tersenarai dalam pangkalan data STR perlu membuat permohonan baharu bagi membolehkan proses mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan.


Solan lazim (FAQ) dan semakan status kelayakan STR boleh didapati di Portal Rasmi STR, melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my.


Orang awam dinasihatkan agar sentiasa berwaspada terhadap pautan tidak sahih yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mendapatkan maklumat mengenai STR.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page