80 resolusi diketengahkan dalam KEB 2024 perkasakan bumiputera
top of page
  • Wartawan Nabalu News

80 resolusi diketengahkan dalam KEB 2024 perkasakan bumiputera

3 Mac 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Dalam usaha memacu kemajuan bumiputera ke arah era digital, Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 telah melabuhkan tirainya dengan menggariskan lebih 80 resolusi yang akan menjadi agenda pemerkasaan bumiputera.


KEB, yang telah berlangsung sejak Khamis lalu, telah menjadi medan pertemuan bagi pelbagai pihak untuk berkongsi pandangan dan idea dalam menangani isu-isu yang dihadapi oleh kaum bumiputera.


Dengan fokus kepada 10 kumpulan utama yang merangkumi semua aspek kehidupan bumiputera, kongres yang dianjurkan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersama Kementerian Ekonomi ini telah berjaya mengumpulkan lebih dari 3,000 peserta. Peserta-peserta ini termasuklah wakil dari dewan perniagaan Melayu, Kadazan, Dusun, Iban, Dayak, serta masyarakat Orang Asli.


Antara tumpuan utama kongres ini adalah usaha memperkasakan kaum bumiputera dalam bidang pendidikan dan ekonomi iaitu menerusi penubuhan Pusat Kajian Pembangunan Bumiputera yang diutarakan oleh Pengerusi Kumpulan Reformasi Pendidikan dan Modal Insan Prof Tan Sri Noor Azlan Ghazali.


Selain itu, isu-isu seperti Penciptaan Kekayaan dan Penguasaan Korporat, Daya Saing Perusahaan Bumiputera, Penguasaan Teknologi Baharu, Felda dan Tanah Wilayah Persekutuan, serta Sosioekonomi Bumiputera di Sabah dan Sarawak.


Pada majlis penutupan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menggariskan tiga isbat penting untuk mendukung aspirasi yang diutarakan oleh masyarakat. Isbat-isbat ini meliputi usaha memperkukuh ekonomi negara, memperkuat kerukunan tatakelola dan institusi, serta menegakkan keadilan sosial.


Perdana Menteri juga mengumumkan penyediaan dana sebanyak RM1 bilion untuk melahirkan generasi baharu usahawan bumiputera. Selain itu, beliau turut mengumumkan penubuhan Tabung Wakaf MARA MADANI dengan geran peluncuran RM100 juta dan sasaran dana terkumpul sebanyak RM1 bilion dalam masa dua tahun.


Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, menekankan pentingnya pemantauan dan pelaksanaan resolusi-resolusi yang telah diketengahkan.


Beliau menyatakan, "Kita berharap ia tidak hanya sekadar kongres dan kertas kerja, tetapi pandangan-pandangan bernas yang kita perolehi sepanjang libat urus dan kongres telahpun diberikan komitmen oleh perdana menteri untuk dilaksanakan oleh kerajaan."


"Ini memerlukan pemantauan dan perlukan penyelarasan dan yang paling penting kita kena menilai dan mengukur kejayaan ini dari semasa ke semasa."


Sepanjang kongres yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), transaksi yang direkodkan telah mencapai jumlah RM150,000 di 21 reruai jualan usahawan bimbingan MARA dan KKDW, menunjukkan potensi ekonomi yang besar dalam kalangan usahawan bumiputera.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page