83 peratus kes influenza dikesan di sekolah, tadika
- nabalunews
- Oct 16, 2025
- 2 min read

16 Oktober 2025
KUALA LUMPUR: Penularan wabak Influenza A ketika ini banyak berlaku di institusi pendidikan dengan 83 peratus dilaporkan dikesan di sekolah dan tadika, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata, sehingga Minggu Epidemiologi (ME) 41/2025, sebanyak 448 premis sekolah dan tadika di seluruh negara terjejas susulan penularan wabak itu.
“Sebanyak 65.8 peratus berlaku di sekolah, manakala 17 peratus di tadika. Kedua-duanya membentuk 83 peratus keseluruhan wabak Influenza A yang dikesan.
“Penularan di tempat lain juga berlaku, seperti di institusi, kolej, tempat kerja dan sebagainya,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) setakat mana seriusnya kes influenza seluruh negara ketika ini dan kesan kepada institusi pendidikan selain langkah menangani penularan wabak itu.
Dzulkefly berkata, keperluan tanggungjawab bersama antara ibu bapa dan pihak sekolah bagi mengekang penularan jangkitan, dengan langkah utama ialah memastikan anak-anak bergejala tidak dihantar ke sekolah.
Selain itu, katanya, guru dan pihak sekolah perlu memainkan peranan penting dalam kawalan awal di peringkat institusi dengan menasihatkan pelajar yang bergejala supaya tidak memasuki kelas dan mendapatkan rawatan.
“Sekolah juga perlu membuat pelaporan awal kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) agar tindakan pencegahan dan kawalan dapat dilaksanakan dengan segera dan berkesan.
“Tindakan penutupan sekolah boleh dilaksanakan oleh pihak pentadbiran melalui perbincangan dan kerjasama dengan PKD berdekatan. Jika penularan terhad kepada kumpulan tertentu, langkah kawalan hendaklah difokuskan kepada kumpulan tersebut,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Dzulkefly menjelaskan keputusan untuk menutup sekolah institusi pendidikan disebabkan jangkitan influenza bukan hanya berdasarkan bilangan kes yang dikesan.
Menurut beliau, penutupan mana-mana sekolah atau institusi pendidikan disebabkan jangkitan influenza berdasarkan penilaian risiko kesihatan awam oleh Pusat Kesihatan daerah (PKD).
"Antara faktor kita ambil kira adalah kadar serangan penyakit dalam kalangan murid, kadar ketidakhadiran murid dan guru, bukti penularan aktif dalam komuniti dan juga keupayaan sekolah melaksanakan langkah-langkah kawalan. Semua faktor itu perlu diambil kira sekali gus," katanya.















Comments