top of page

968 sekolah daif di Sabah termasuk 30 di Tuaran: KPM

  • nabalunews
  • 12 hours ago
  • 1 min read

25 Februari 2026


KUALA LUMPUR: Sebanyak 968 buah sekolah di Sabah dikenal pasti mempunyai bangunan daif setakat 31 Disember 2025, menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).


Perkara itu dimaklumkan KPM dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Tuaran, Wilfred Madius Tangau, yang meminta kementerian menyatakan jumlah bangunan sekolah yang telah diisytiharkan tidak selamat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) di seluruh negara, termasuk sekolah-sekolah di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tuaran.


Menurut KPM, kementerian sentiasa berusaha memastikan kemudahan sekolah mencukupi serta berada dalam keadaan baik dan kondusif demi menjamin keselamatan serta keselesaan warga sekolah.


“Sehingga 31 Disember 2025, sebanyak 968 buah sekolah dikenal pasti mempunyai bangunan daif, iaitu bangunan yang dikategorikan pada Skala 7.


"Data ini bersifat dinamik dan boleh berubah dari semasa ke semasa,” menurut kementerian itu di sini, pada Selasa.


Daripada jumlah tersebut, sebanyak 30 buah sekolah di Parlimen Tuaran dikenal pasti mempunyai bangunan dalam kategori Skala 7.


Antaranya termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan Tamparuli dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tenghilan.


Sementara itu, semakan KPM mendapati bangunan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Fuad Stephens berada dalam kategori Skala 6, yang memerlukan kerja-kerja naik taraf dan penyelenggaraan, namun tidak diklasifikasikan sebagai daif tahap paling kritikal.


Isu sekolah daif di Sabah terus menjadi perhatian, khususnya melibatkan aspek keselamatan pelajar dan guru, serta keperluan peruntukan pembangunan yang lebih menyeluruh bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat dan berkualiti.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page