• nabalunews

Aaron Chia-Wooi Yik mara ke separuh akhir kejutkan pasangan no 1 dunia



29 Julai 2021


TOKYO: Beregu utama lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik menampilkan aksi cemerlang dengan mengejutkan pilihan utama Kevin Sanjaya Sukamuljo-Marcus Fernaldi Gideon untuk mara penuh bergaya ke separuh akhir Sukan Olimpik Tokyo 2020, hari ini.

Pasangan negara yang berada di ranking kesembilan dunia itu mempamerkan permainan agresif dengan pukulan smash tajam dan mengelirukan gandingan nombor satu dunia dari Indonesia itu untuk mencatat kemenangan 21-14, 21-17 dalam masa 33 minit di Musashino Forest Sport Plaza di sini.

Kemenangan itu adalah yang pertama bagi Aaron-Wooi Yik ke atas pasangan Indonesia itu dalam lapan pertemuan dengan aksi pertama mereka pada Terbuka Malaysia 2018 hingga perlawanan terakhir pada Kejohanan All England 2020.


Aaron-Wooi Yik, yang membuat penampilan pertama di pentas Olimpik dan diletakkan sebagai gandingan bukan pilihan, dijadual berdepan pasangan ranking keenam dunia dari China, Li Jun Hui-Liu Yu Chen pada aksi separuh akhir, petang esok.

Ketika ditemui pemberita, Aaron berkata beliau cukup berpuas hati dengan kemenangan itu, dan berharap dapat meneruskan rentak permainan mereka pada aksi separuh akhir. “Turun menentang mereka (pasangan Indonesia itu), kami tidak rugi apa-apa pun kerana berdasarkan kepada tujuh pertemuan sebelum ini, kita tidak pernah menang menentang mereka. Jadi saya merasakan, tekanan ke atas mereka.


“Namun di temasya Olimpik ini, apa-apa pun boleh berlaku seperti ke atas (pemain nombor satu dunia) Kento Momota yang tewas mengejut. Bagi kami, hanya fokus kepada permainan dan bermain bermati-matian,” katanya.

Pemain tuan rumah, Kento Momota tewas mengejut kepada pemain bukan pilihan dari Korea Selatan Heo Kwang-hee 15-21, 19-21, pada pusingan pertama acara badminton perseorangan lelaki, semalam.

Mengenai aksi separuh akhir, Aaron berkata mereka akan menampilkan aksi terbaik tidak kira siapa yang menjadi lawan esok.


Sementara itu, Wooi Yik menyifatkan aksi menentang pasangan Indonesia itu adalah antara prestasi terbaik ditampilkan mereka sejak digandingkan pada 2017.

Namun, beliau berkata beberapa perkara perlu diperbaiki menjelang pertemuan esok, dan lebih penting perlu percaya kepada kemampuan diri mereka sendiri. - Bernama