Sabah FC Naib Juara Piala FA
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

14 Disember 2025
KUALA LUMPUR: Pasukan Sabah FC terpaksa berpuas hati sebagai naib juara Piala FA selepas tewas di tangan JDT dengan jaringan 5–0 dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam tadi.
Dalam perlawanan berkenaan, pemain Sabah FC yang jelas dalam serba kekurangan jika dibandingkan dengan pasukan lawan bertambah parah apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain pada awal separuh masa kedua.
Pasukan Sabah seakan mendapat cetusan semangat apabila berjaya menjaringkan gol pada separuh masa pertama, namun jaringan dibatalkan ekoran kekasaran yang dilakukan sebelum itu.
Disebalik kelebihan pasukan lawan, pemain-pemain Sabah tetap tenang meneruskan aksi terbabit sehingga berjaya melakukan beberapa percubaan untuk mencabar skuad Harimau Selatan.
Skuad Xisco Munoz yang turun dengan misi mengekalkan kejuaraan nyata menepati ramalan apabila menjaringkan gol pertama seawal minit ke-8 oleh pemain Jonathan Silva.
Kekecewaan Sabah FC bertambah parah apabila kapten pasukan Rawilson Batuil menjaringkan gol sendiri pada minit ke 20 sebelum gol ketiga JDT pada minit ke 23 oleh Jairo Da Silva.
Sebaik separuh masa kedua dimulakan, pasukan Sabah FC terus melancarkan serangan dengan beberapa percubaan namun gagal membolosi gawang pasukan JDT.
JDT kemudiannya berjaya menjaringkan gol ke empat perlawanan pada minit ke 64 oleh seorang lagi penyerang import Oscar Arribas hasil gerakan cantik pemain berasal dari Sepanyol itu.
Pasukan Sabah FC yang kehilangan penyerang Adjin Mujagic akibat kecederaan cuba melakukan beberapa pertukaran termasuk membawa masuk penjaga gol berpengalaman Khairul Fahmi Che Mat, Gary Steven Robbat, Muhammad Farhan Roslan, Dinesh Rajasingam dan Harith Naem Jaineh.
Bagaimanapun, JDT sekali lagi berjaya menjaringkan gol kelima oleh penyerang Manuel Hildago pada minit ke 91, masa kecederaan perlawanan.
Jaringan berkenaan sekaligus menandakan kejuaraan kelima berturut-turut oleh pasukan JDT yang dihadiri seramai lebih 40,000 penyokong kedua-dua pasukan.
Untuk rekod, pasukan Sabah pernah menjuarai Piala FA pada tahun 1995 dan kali terakhir beraksi pada final piala berkenaan pada tahun 1998.














