Piala FA: Kami Akan Berikan Yang Terbaik Untuk Sabah FC- Daniel de Marigny
- nabalunews
- 11 hours ago
- 1 min read

11 Disember 2025
KOTA KINABALU: Sabah FC berada pada tahap terbaik menjelang aksi penentu yang bakal melakar sejarah baharu buat kelab itu, kata Ketua Jurulatih, Daniel Jean Paul de Marigny.
Selepas hampir lapan minggu melalui persiapan intensif, Daniel berkata seluruh pemain kini berada pada prestasi optimum, seiring harapan ribuan penyokong yang menantikan detik bersejarah ini sejak 27 tahun lalu.
“Kami amat berbangga dengan pencapaian ini. Para pemain sudah bekerja keras dan mereka benar-benar layak menerima penghargaan ini.
“Apabila seseorang berjuang dan akhirnya diraikan, kejayaannya menjadi lebih manis. Kami akan memberikan segala-galanya demi Sabah,” katanya pada sesi latihan terbuka di Stadium Likas malam tadi.
Menurut Daniel, Sabah FC telah melengkapkan perancangan taktikal bagi mengekang ancaman lawan sambil memanfaatkan setiap ruang yang tersedia.
Momentum pasukan juga semakin meningkat selepas aksi cemerlang serta jaringan berkualiti yang terhasil pada perlawanan terdahulu.
Beliau turut menggesa penyokong Sabah yang berada di Semenanjung Malaysia untuk memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) atau memberi sokongan dari rumah bagi menyemarakkan lagi semangat juang pemain pada perlawanan akhir yang dinantikan itu.
Pada sesi latihan terbuka tersebut, peminat turut berpeluang beramah mesra dan bergambar bersama pemain, menjadikan suasana di Likas cukup meriah.
Turut mencuri tumpuan, kehadiran Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan yang menyampaikan sumbangan khas berjumlah RM100,000 sebagai tanda penghargaan atas kejayaan Sabah FC mara ke final Piala FA 2025. Presiden SAFA, Datuk Ir Shahelmy Yahya, turut hadir menyatakan sokongan.
Dengan sokongan padu penyokong dan persiapan rapi yang telah dilalui, Sabah FC kini hanya selangkah lagi menuju sejarah baharu.














