Adakah Agong sudah perkenankan pembatalan darurat? - UmnoAdakah Agong sudah perkenankan pembatalan darurat? - Umno
top of page
  • nabalunews

Adakah Agong sudah perkenankan pembatalan darurat? - Umno



27 Julai 2021


KUALA LUMPUR: Umno mempersoalkan sama ada keputusan kerajaan PN membatalkan Ordinan pada 21 Julai lepas telah mendapat perkenan Agong atau sebaliknya.


Ketua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan berkata, ini kerana dalam persidangan Parlimen yang sedang berlangsung dimaklumkan bahawa enam ordinan darurat telah dibatalkan pada 21 Julai.


”Mengapa tiada langsung pengumuman sebelum ini? Benar, Parlimen merupakan medan terbaik untuk membahaskan isu-isu dasar berkepentingan negara tetapi untuk suatu keputusan besar seperti pembatalan darurat, mengapa tiada pemakluman awal kepada umum?


“Bermakna, selama lima hari rakyat tidak diberitahu undang-undang dan sistem apa yang beroperasi dalam negara.


“Bagaimana kesahihan segala tindakan selama lima hari ini baik kompaun, denda dan lain-lain perihal pentadbiran negara yang berlandaskan andaian bahawa undang-undang darurat masih terpakai?,” katanya dalam kenyataan media.


Shahril berkata, dalam perbahasan semalam dimaklumkan bahawa Perlembagaan memperuntukkan bahawa sebarang Ordinan Darurat mesti dibentang kepada Parlimen, melainkan ia dibatalkan lebih awal.


“Adakah mengelak prosedur perbahasan ini menjadi sebab pembatalan dibuat awal? Sedangkan semalam kenyataan rasmi UMNO jelas mahu membahas dan membatalkan ordinan darurat,” katanya.


Sehubungan itu katanya, penjelasan tuntas mesti dibuat segera bagi mengelak kekeliruan.


Shahril berkata, ini kerana masih wujud kekeliruan apa sebenarnya status darurat.


“Adakah proklamasi kekal sehingga 1 Ogos tetapi ordinannya sahaja yang batal? Bilakah keputusan pembatalan ini dibuat? Adakah telah diperkenan kePada Agong?,” tanya Shahril.

bottom of page