Adakah Kerajaan kini takut dengan video TikTok? - Syahredzan
top of page
  • Farid Johan

Adakah Kerajaan kini takut dengan video TikTok? - Syahredzan


Pengerusi Biro Media Sosial Parti Tindakan Demokratik (DAP) Syahredzan Johan

29 Jun 2022

Oleh Farid Johan


KUALA LUMPUR: Tindakan pihak berkuasa terhadap mantan Senator Siti Aishah Shaik Ismail berikutan video tular TikTok berhubung penghapusan subsidi baru-baru ini menimbulkan persoalan.


Pengerusi Biro Media Sosial Parti Tindakan Demokratik (DAP) Syahredzan Johan mempersoalkan adakah kerajaan takut dengan video TikTok.


“Kerajaan sepatutnya sedar bahawa isu subsidi dan harga barang yang menjadi asas kepada video Siti Aishah tersebut adalah isu yang telah membelenggu rakyat untuk sekian lama.


“Inilah sebab mengapa video tersebut telah mendapat 2.5 juta tontonan, lebih 142,000 sukaan (likes) dan lebih 43,000 kongsian (shares).


“Kerajaan digesa untuk memberi ruang kepada suara-suara menentang (dissenting voices) dan menjunjung hak untuk bersuara dan memberikan pendapat yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Jangan bungkam suara yang tidak sehaluan dengan Kerajaan!,” katanya dalam kenyataan media.

Tangkap layar video TikTok Senator Siti Aishah Shaik Ismail berikutan berhubung penghapusan subsidi baru-baru ini

Sebelum ini, Siti Aishah memuat naik video di TikTok mengenai isu subsidi yang kononnya akan dihapuskan pada 1 Julai sehingga menimbulkan kemarahan dan kekecewaan rakyat.


Dilaporkan bahawa bekas ahli Dewan Negara itu telah di bawa ke balai polis Sungai Senam Ipoh untuk diambil keterangan berkenaan video TikTok yang dimuatnaik sebagai reaksi kepada keputusan Kerajaan menarik balik subsidi.


Menurut laporan, siasatan dibuat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.


Syahredzan berkata, menurut laporan yang memetik kenyataan Siti Aishah, pihak polis dan juga Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah menyerbu rumahnya dan merampas telefon bimbit yang dimilikinya.


“Tidak ada sebab mengapa tindakan seperti ini, yang boleh dianggap tidak berkadar (disproportionate), perlu diambil ke atas seseorang yang hanya membuat video TikTok mengkritik Kerajaan.


“Adakah tindakan yang diambil terhadap Siti Aishah disebabkan video TikTok itu telah menjadi begitu tular, sehingga menyebabkan ada pihak yang rasa tidak senang dengan video tersebut?


“la menimbulkan persoalan sama ada Kerajaan kini merasakan bahawa video TikTok boleh mengancam kedudukan mereka, sehingga perlu mengambil tindakan sedemikian. Adakah Kerajaan kini takut dengan video TikTok?,” kata Syahredzan.


Sebelum ini, kerajaan mengumumkan kawalan harga siling ayam dan telur ayam serta subsidi minyak masak berbotol antara dua hingga lima kilogram dihentikan bermula 1 Julai ini.


Selain itu, pada 1 Jun lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mengumumkan bahawa kerajaan akan menghentikan bayaran subsidi kepada penternak bermula 1 Julai ini.

bottom of page