ADUN SEBATIK UMUM KELUAR WARISAN, SOKONG GRSADUN SEBATIK UMUM KELUAR WARISAN, SOKONG GRS
top of page
  • Wartawan Nabalu News

ADUN SEBATIK UMUM KELUAR WARISAN, SOKONG GRS



25 Feb 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sebatik Hassan A.Gani Pg.Amir mengambil keputusan keluar Parti Warisan serta-merta dan menjadi Adun Bebas yang menyokong Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).


Beliau turut menyatakan pendirian untuk menyokong sepenuhnya Datuk Seri Hajiji Haji Noor selaku Ketua Menteri Sabah serta Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin selaku Perdana Menteri Malaysia.


"Kegagalan kepimpinan parti untuk mengusahakan sebarang inisiatif untuk membantu rakyat yang terbeban dengan kesan Covid-19 di setiap kawasan amat mengecewakan saya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.


Hassan berkata, beliau amat sedih melihat pendirian parti Warisan yang dilihat masih lagi bermain dengan rentak politik Pakatan Harapan (PH) yang mengutamakan kepentiingan politik berbanding kesejahteraan rakyat yang terbeban dengan isu Covid-19.


"Antara tindakan utama kepimpinan parti Warisan yang amat mengecewakan saya adalah, tindakan menolak belanjawan persekutuan 2021 di parlimen. Tindakan ini amat jelas membelakangkan kepentingan rakyat khususnya usaha-usaha bagi menangani Covid-19 yang memerlukan peruntukan melalui bajet yang dibentangkan.


"Tindakan kepimpinan parti yang masih bersama PH berusaha menggugat kestabilan kerajaan dengan cuba menukar kepimpinan Perdana Menteri dan tindakan kepimpinan parti yang membelakangkan pemimpin dan ahli akar umbi termasuk para ADUN dengan tidak membincangkan sebarang keputusan penting melibatkan hala tuju parti," katanya.

bottom of page