• Ilona Andrew

Adun Sindumin sah keluar Warisan, sokong GRS


Yusof bercakap semasa sidang media, hari ini.

8 Okt 2021

Oleh Ilona Andrew


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sindumin Datuk Yusof Yacob hari ini telah umum keluar daripada Parti Warisan Sabah (Warisan).


Sebelum ini, beliau yang merupakan Ketua Penerangan Warisan menafikan spekulasi bahawa beliau meninggalkan Warisan seperti yang dilaporkan pelbagai media.


Beliau mengistyiharkan bahawa beliau kini bergelar Adun bebas yang menyokong Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Kerajaan Persekutuan, dan melepaskan keahlian dalam Warisan serta semua jawatan di parti itu.


"Saya memilih untuk bekerjasama dan memberi sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob dan kerajaan yang memerintah di persekutuan.


"Saya juga memberi sokongan kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Kerajaan Negeri Sabah demi kepentingan rakyat untuk kestabilan politik negeri dan negara walaupun sumbangan saya ini mungkin kecil," katanya dalam sidang media, hari ini.


Menurut Yusof, tindakan keluar Warisan merupakan keputusan peribadi dan tanpa pengaruh dari mana-mana pihak.


Tambahnya, beliau telah berbincang dengan Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal sebelum membuat keputusan itu.


"Keputusan saya adalah atas pertimbangan untuk membolehkan saya fokus dan bekerjasama dengan kerajaan serta jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan untuk berkhidmat kepada rakyat yang saya wakili, terutama di Sindumin, demi pembangunan daerah Sipitang," ujarnya.