top of page

AGC sah terima laporan penuh siasatan kes Ismail Sabri

  • nabalunews
  • Sep 15, 2025
  • 1 min read

14 September 2025


KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan menerima laporan penuh siasatan membabitkan sejumlah wang yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Setiausaha Politik beliau, Datuk Anuar Mohd Yunus.


AGC dalam kenyataan hari ini memaklumkan dokumen berkenaan diterima pada Jumaat lalu.


Menurut AGC, pihaknya akan meneliti laporan tersebut secara menyeluruh meliputi segenap aspek termasuk aspek keterangan dan elemen pembuktian kes sebelum sebelum sebarang keputusan berhubung pendakwaan jenayah dapat dibuat.


"Tindakan pelucuthakan harta kepada Kerajaan Malaysia tanpa pendakwaan terhadap wang tunai itu telah diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.


"Jabatan ini menegaskan siasatan dan proses pelucuthakan harta dan pertuduhan jenayah adalah dua aspek yang berbeza.


“Sehubungan itu, walaupun tindakan pelucuthakan harta telah dimulakan SPRM, jabatan ini akan meneliti secara menyeluruh laporan penuh siasatan itu," menurut kenyataan itu.


Tambah kenyataan itu, sebarang keputusan kes akan dimaklumkan setelah proses penelitian laporan penuh siasatan itu selesai.


"Jabatan ini kekal komited untuk memastikan setiap keputusan dibuat secara bebas, telus dan selaras dengan peruntukan undang-undang," katanya.


Pada 9 September lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata wang tunai berjumlah hampir RM170 juta yang disita agensi tersebut dan dipercayai milik Ismail Sabri kini rasmi menjadi hak kerajaan.


Katanya, pemindahan wang itu ke akaun kerajaan dilakukan selepas Ismail Sabri tidak berhasrat mencabar permohonan pihak pendakwaan untuk melucutkan hak wang itu.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page