top of page

Agensi bawah KPK diarah bantu pemohon Budi Agri-Komoditi

  • nabalunews
  • Aug 19, 2024
  • 2 min read

18 Ogos 2024


KUALA LUMPUR: Semua agensi di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) diarah untuk membantu permohonan pekebun-pekebun kecil memohon bantuan Budi Agri-Komoditi.


Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata arahan itu diberikan susulan pihaknya mengesan hanya sebilangan kecil daripada 300,000 pekebun kecil memohon bantuan Budi Agri-Komoditi.


Menurut laporan Berita Harian, bantuan itu membolehkan mereka menerima tunai bagi menampung penggunaan diesel dalam urusan harian,


Katanya, keciciran itu berlaku disebabkan ramai pekebun tidak tahu bantuan itu diberikan malah tidak dapat mendaftar disebabkan faktor-faktor seperti kadar celik teknologi dan capaian maklumat.


"Apabila harga diesel meningkat (berikutan penyasaran subsidi bahan bakar itu), mereka patut dapat subsidi (menerusi bantuan) tapi mereka tak tahu macam mana nak mohon, talian tak ada, komputer tak ada, jadi kita turun ke bawah untuk membantu.


"Saya sendiri sudah arahkan semua agensi di bawah kementerian untuk mencari mereka dan memasukkan data-data mereka ke dalam sistem supaya bantuan ini dapat disalurkan," katanya selepas Majlis Penyampaian Sumbangan kepada Pelajar IPTA & IPTS Siri 2/2024, di Dewan Nusa Bena, Taman Melawati, hari ini.


Berita Harian sebelum ini melaporkan, KPK memaklumkan hanya 16,000 daripada 300,000 pekebun kecil membuat permohonan melalui BUDI Agri-Komoditi sehingga kelmarin bagi membolehkan mereka menerima insentif bulanan RM200 bagi menampung subsidi.


Jumlah itu jauh lebih rendah berbanding jumlah keseluruhan pekebun kecil berikutan terdapat beberapa kekangan dihadapi golongan berkenaan.


Ketika ini, dianggarkan seramai 300,000 pekebun kecil yang mengusahakan ladang sawit, kenaf, getah, koko dan lada di Semenanjung.


Mengulas lanjut, Johari berkata, beliau menjangkakan permohonan untuk mendapatkan bantuan subsidi itu akan meningkat melalui tindakan proaktif yang dilakukan kementeriannya.


"Malah ketika ini juga, saya dimaklumkan pendaftaran dalam program ini sudah meningkat banyak, cuma saya belum ada maklumat lanjut itu lagi.


"Permohonan itu mesti meningkat kerana kita mengesan kebanyakan mereka tidak mendaftar kerana tidak faham, tidak tahu di mana untuk memohon sahaja," katanya.

Hozzászólások


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page