Agensi digerakkan baik pulih infrastruktur, bantu mangsa bencana di Sabah
- nabalunews
- Sep 16, 2025
- 1 min read

16 September 2025
KOTA KINABALU: Agensi teknikal dan agensi tindak balas digerakkan bagi melaksanakan kerja membaik pulih infrastruktur terjejas serta membantu mangsa bencana di Sabah.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, antara tindakan segera ialah pemasangan jambatan modular di Sungai Kaiduan, Papar, selepas jambatan sedia ada runtuh akibat banjir, sekali gus menyebabkan kawasan tersebut terputus hubungan.
“Pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah membekalkan tiga unit stok jambatan keluli bermodular (Bailey Bridge) kepada Kerajaan Negeri Sabah pada tahun lepas sebagai keperluan logistik meningkatkan kesiapsiagaan infrastruktur.
“Saya mohon Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) yang memiliki kepakaran khusus agar segera membuat pemasangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
.
Ahamd Zahid berkata, JKR Sabah dengan kerjasama syarikat konsesi juga sedang menumpukan usaha membaik pulih infrastruktur di Jalan Penampang-Tambunan yang terjejas akibat tanah runtuh.
Menurutnya, kerja-kerja pembersihan runtuhan, penstabilan cerun, pembinaan semula jambatan gantung yang terputus, pembinaan tembok penahan cerun di kawasan perumahan serta pembaikan jalan raya runtuh sedang giat dijalankan.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk setempat yang menyalurkan bantuan kemanusiaan termasuk makanan, barangan keperluan harian serta sokongan logistik lain.
“Usaha ini secara tidak langsung meringankan beban mangsa terjejas dan menyokong kelancaran operasi bantuan di kawasan bencana,” katanya.
Beliau berkata Ketua Pengarah NADMA juga berada di Sabah bagi menyelaras pengurusan bencana bersama Setiausaha Persekutuan negeri.
“Saya mendoakan agar semua negeri yang ditimpa musibah banjir segera pulih dan penduduk dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa dalam masa terdekat,” katanya.
Tamat















Comments