Agihan keuntungan Pertubuhan Peladang dilaksana sebelum Aidilfitri
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

11 Mac 2026
KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan pengeluaran Perintah Khas bagi membolehkan pembahagian keuntungan Pertubuhan Peladang bagi Tahun Kewangan Beraudit 2024 dilaksanakan sebelum Aidilfitri.
Menurut Pejabat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, sebanyak 212 Pertubuhan Peladang di seluruh negara dikenal pasti layak melaksanakan pembahagian keuntungan berjumlah kira-kira RM25.8 juta yang akan memberi manfaat kepada lebih 400,000 anggota peladang.
Katanya, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) telah mencatat keuntungan sebanyak RM221 juta bagi tahun kewangan 2024, iaitu yang tertinggi sejak penubuhannya pada tahun 1972.
“Bagaimanapun, berikutan penggantungan yang masih berkuat kuasa, Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh ditetapkan, sekali gus menjejaskan proses agihan keuntungan kepada anggota mengikut tatacara biasa.
“Sehubungan itu, Menteri menggunakan kuasa di bawah Seksyen 27(2) Akta Pertubuhan Peladang 1973 [Akta 109] untuk mengeluarkan Perintah Khas bagi membolehkan agihan dibuat secara sah dan teratur,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah kenyataan itu, keputusan tersebut dibuat atas pertimbangan kepentingan anggota peladang agar hak mereka tidak terjejas akibat isu tatakelola yang sedang ditangani.
Jelasnya, Perintah Khas itu hanya terpakai bagi Tahun Kewangan Beraudit 2024, manakala tatacara lanjut pembayaran akan diumumkan oleh Pendaftar Pertubuhan Peladang dalam masa terdekat.















Comments