top of page

Agong kecewa rasuah dalam ATM, titah usaha diperhebat

  • nabalunews
  • 1 hour ago
  • 1 min read

19 Januari 2026


KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan rasa kecewa terhadap skandal rasuah yang melibatkan pegawai tertinggi dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).


Seri Paduka Baginda bertitah segala perancangan pembangunan negara tidak akan mencapai kesempurnaan sekiranya amalan rasuah terus berleluasa dalam pentadbiran dan sektor keselamatan.


“Agaknya selepas ini saya patut lantik Sarjan sahaja menjadi PAT (Panglima Angkatan Tentera). Saya pernah sebut dahulu, yang saya datang ke Kuala Lumpur untuk memburu perasuah, dan nampaknya saya telah berjaya jumpa.


“Ini hanyalah sekelumit daripada segunung atau ‘the tip of the iceberg’. Saya yakin ada ramai lagi di luar sana, sama ada di Jabatan Kastam, Imigresen, Polis dan sebagainya, serta termasuk juga yang berada di dalam dewan ini, yang akan terus diburu sampai jumpa,” titah baginda.


Sultan Ibrahim bertitah demikian ketika menyampaikan Titah Diraja pada Sidang Dewan Rakyat bersempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen Ke-15, hari ini.


Dalam pada itu, baginda bertitah amalan rasuah mesti diperangi secara besar-besaran sambil menyeru seluruh rakyat untuk memainkan peranan sebagai mata dan telinga dengan melaporkan sebarang bentuk salah laku serta jenayah rasuah.


Sultan Ibrahim menekankan agar tindakan tegas dikenakan bukan sahaja terhadap penerima, malah pemberi rasuah serta ejen yang bersubahat.


Baginda turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempercepatkan siasatan tanpa mengira pangkat atau kedudukan, selain menyarankan kerajaan menyediakan hakim berpengalaman serta laluan khas di mahkamah bagi mempercepatkan penyelesaian kes rasuah.


Pada masa sama, Ahli Parlimen dan penjawat awam turut diingatkan bahawa jawatan yang disandang merupakan amanah rakyat dan negara.


“Sesiapa yang menyalahgunakan kuasa, menyeleweng dana awam, menerima rasuah atau melindungi perasuah adalah dianggap sebagai pengkhianat negara,” titah Seri Paduka Baginda.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page