Agong sambut baik MoU antara kerajaan, pembangkang Agong sambut baik MoU antara kerajaan, pembangkang
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Agong sambut baik MoU antara kerajaan, pembangkang


15 Sept 2021

By Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Billah Shah menyambut baik pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik di antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH).


Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Seri Paduka menzahirkan rasa syukur dan sukacita dengan pendekatan bersejarah kerjasama rentas parti itu.


Beliau berkata, baginda berharap melalui MOU tersebut, kemelut politik di negara ini dapat diakhiri dengan segera dan ahli-ahli Dewan Rakyat dapat mengetepikan agenda politik dengan bersatu hati serta bersepakat dalam usaha menangani pandemik COVID-19 demi kepentingan rakyat dan negara.


Tambahnya, Seri Paduka Baginda mengulangi pendirian baginda bahawa rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik tidak berkesudahan pada ketika negara bergelut menghadapi isu kesihatan dan kelembapan ekonomi akibat pandemik itu.


"Seri Paduka menegaskan bahawa ia juga selaras dengan pendirian Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu akan pentingnya pembentukan kerajaan yang stabil dan berfungsi dengan cekap serta berhemah dalam keadaan negara menghadapi pelbagai krisis.


"Oleh hal demikian, Seri Paduka menasihati Ahli-ahli Dewan Rakyat supaya memberikan keutamaan kepada kemaslahatan rakyat dan kesejahteraan negara pada sesi sidang Parlimen yang kini sedang berlangsung" katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong juga menzahirkan keyakinan proses pemulihan negara dapat dipercepatkan, selari dengan kestabilan politik dan peningkatan kadar vaksinasi serta bantuan oleh kerajaan.


Beliau menambah, faktor-faktor tersebut juga adalah kunci kepada keyakinan semua pihak yang berkaitan dan pelabur.


Katanya lagi, Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa kerajaan perlu mempercepatkan penggubalan dasar-dasar yang mesra perniagaan dan pelaburan bagi meningkatkan lagi daya saing negara," katanya.


“Seri Paduka Baginda juga menyeru seluruh rakyat menzahirkan solidariti dan sokongan padu kepada para petugas barisan harapan dengan berganding bahu berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta semua perintah yang telah ditetapkan kerajaan.


"Baginda turut menyeru seluruh rakyat agar bertenang dan bersama baginda mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah Subhanahu Wata'ala, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera," katanya.


MoU itu ditandatangani pada Isnin lalu secara bersama oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page