AGONG SIMPATI KEPERLUAN MORATORIUM AUTOMATIK B40, M40: GUAN ENGAGONG SIMPATI KEPERLUAN MORATORIUM AUTOMATIK B40, M40: GUAN ENG
top of page
  • Wartawan Nabalu News

AGONG SIMPATI KEPERLUAN MORATORIUM AUTOMATIK B40, M40: GUAN ENG


Gambar Hiasan

12 Jun 2021


Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mendakwa Yang di-Pertuan Agong bersimpati dengan keperluan moratorium automatik pinjaman bank kepada rakyat negara ini yang terkesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Ahli Parlimen Bagan itu berkata, isu berkaitan moratorium dibangkitkannya semasa menghadap Agong beberapa hari lalu.


Lim Guan Eng

“Semasa saya menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong beberapa hari lalu, saya telah membangkitkan masalah kewangan yang dihadapi oleh rakyat biasa yang memerlukan bantuan kerajaan untuk meneruskan kehidupan.


“Yang di-Pertuan Agong bersimpati dengan keperluan moratorium automatik pinjaman bank (kecuali kumpulan 20 Teratas) tanpa menyebut tempoh tertentu dan pemberian lebih banyak bantuan kewangan untuk menyelamatkan pekerjaan dan perniagaan,” katanya dalam kenyataan akhbar, kelmarin.


Guan Eng berkata, dalam krisis ekonomi ekoran pandemik Covid-19, kerajaan PN jelas jauh tersesat kerana memilih mendengar lebih banyak daripada bank berbanding rakyat.


“Amat mengecewakan apabila Kementerian Kewangan telah memutuskan untuk menyerahkan kepada bank untuk membuat keputusan dengan memberi alasan bahawa kerajaan tidak mengawal bank.


“Kerajaan PN dengan mudah melupakan bahawa kuasa darurat boleh digunakan demi kepentingan nasional buat masa ini untuk memaksa pihak bank tanpa sebarang kos kepada kerajaan,” katanya.


Katanya lagi, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia juga menyatakan kekecewaan kerana moratorium bank sekarang tidak bebas faedah dan mahu bank mengecualikan semua faedah dan caj bank seperti penjadualan semula dan kelewatan pembayaran.


“Persatuan SME Malaysia mendedahkan bahawa sekuran-kurangnya 50,000 PKS mungkin akan tutup perniagaan sekiranya ‘lockdown’ dilanjutkan empat minggu lagi. Kira-kira 100,000 syarikat PKS telah berhenti beroperasi sejak PKP pertama.


“Pihak bank kini memberikan pendekatan bantuan kewangan secara bersasar kepada pelanggan yang memerlukannya,” katanya.


Menurut Persatuan Bank Malaysia, data menunjukkan bahawa pada 26 Mac lalu, institusi kewangan telah menerima 1.6 juta permohonan untuk bantuan tersebut, dengan kadar kelulusan pada 95 peratus. Jumlah 1.5 peratus penerima manfaat ini adalah lebih rendah dibandingkan dengan 8 juta syarikat dan individu sebelum ini yang mendapat manfaat daripada moratorium automatik pinjaman bank di bawah PKP 1.0.


Di bawah moratorium sekarang untuk kumpulan B40, pihak bank tidak mengecualikan faedah tetapi menangguhkan pembayaran pinjaman dengan mengakru faedah yang akhirnya mengakibatkan pembayaran hutang kumulatif yang lebih tinggi.


Dengan kata lain, pihak bank tidak akan rugi sama sekali walaupun terdapat moratorium automatik pinjaman bank kecuali kumpulan 20 Teratas.


Oleh itu Guan Eng berkata, tidak ada keperluan bagi kerajaan menanggung sebarang kos bagi memberi ganti rugi kepada industri perbankan. Industri perbankan juga dapat menanggung segala kos yang ditanggung berikutan keuntungan selepas cukai yang sihat sebanyak RM32.2 bilion pada tahun 2019 dan RM23 bilion pada tahun 2020.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed mengakui bahawa kumpulan M40 dan perniagaan umumnya lebih tertekan dan terdesak berikutan keengganan memperluaskan moratorium automatik pinjaman bank kepada kumpulan M40.


Malah dia mengakui kesukaran yang dihadapi oleh peminjam akibat kerenah birokrasi memohon moratorium pinjaman dari pihak bank.


“Kerajaan dengan bijak telah mengenal pasti masalah yang berlaku tanpa memberikan jalan penyelesaian. Ini adalah satu lagi petunjuk bagi sebuah kerajaan yang gagal,” katanya.


bottom of page