Agong Tandatangan Akta Antibuli 2026
- nabalunews
- 3 minutes ago
- 1 min read

10 Januari 2026
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menandatangani Akta Antibuli 2026 yang diluluskan di Parlimen pada 3 Disember lalu.
Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memaklumkan, Seri Paduka Baginda menandatangani undang-undang tersebut di Istana Bukit Tunku, hari ini.
Akta Antibuli 2026 adalah bagi mewujudkan suatu mekanisme khusus untuk menangani kes buli bagi ke semua mangsa yang telah ditakrif dan diperuntukkan di bawahnya.
“Melalui akta ini, Menteri Pendidikan, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Menteri Pertahanan, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Menteri Dalam Negeri diberi kuasa mengurus dan mengawal selia kes buli.
"Ia termasuk kes yang berlaku di institusi pendidikan atau institusi lain di bawah tanggungjawab dan bidang kuasa masing-masing," menurut hantaran itu.
Hantaran itu turut memaklumkan, tribunal bagi Antibuli akan ditubuhkan sebagai suatu badan kuasi-kehakiman khusus untuk menerima, mendengar dan menentukan aduan buli yang dibuat oleh mangsa.
Tribunal tersebut juga berkuasa memberikan apa-apa pampasan atau perintah yang sewajarnya bagi maksud pembelaan dan keadilan terhadap mangsa buli.














