Ahli-ahli Parlimen pembangkang mahu Sidang Parlimen Khas diadakan segeraAhli-ahli Parlimen pembangkang mahu Sidang Parlimen Khas diadakan segera
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ahli-ahli Parlimen pembangkang mahu Sidang Parlimen Khas diadakan segera



4 Ogos 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Ahli-Ahli Parlimen Pembangkang bersependapat bahawa satu sidang khas Parlimen mesti diadakan segera tidak lewat 9 Ogos berasaskan Peraturan Mesyuarat 11(3) untuk membentang, membahas dan memutuskan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri.


Menurut ahli-ahli pembangkang itu, mereka tidak boleh menerima isu sokongan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin ditangguhkan sehingga bulan September.


“Adalah amat tidak munasabah bagi sebuah Kerajaan yang dipertikai keabsahan dan sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen untuk melengah-lengahkan proses menentukan sokongan di Parlimen.


“Ini kerana kami mengambil kira keadaan pandemik yang terus mencengkam rakyat, jumlah kematian akibat wabak COVID-19 yang terus meningkat begitu tinggi setiap hari, situasi ekonomi yang terus lesu, dan persoalan kestabilan kerajaan yang mesti diselesaikan sekarang,” kata kenyataan itu, hari ini.


Oleh yang demikian, mereka berpendirian bahawa usul undi percaya tersebut wajib dibentang, dibahas dan diputuskan sekarang sekaligus menamatkan isu keabsahan Perdana Menteri.


Kenyataan media itu dikeluarkan bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim (Parti Keadilan Rakyat, KEADILAN), Hj Mohamad Sabu (Parti Amanah Negara, AMANAH), Lim Guan Eng (Parti Tindakan Demokratik, DAP), Datuk Seri Panglima Hj Mohd Shafie Apdal (Parti Warisan Sabah, WARISAN), Dato' Seri Utama Hj Mukhriz Tun Dr Mahathir (Parti Pejuang Tanah Air, PEJUANG).


Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (Pertubuhan Kinabalu Progresi Bersatu, UPKO), Baru Bian (Parti Sarawak Bersatu, PSB), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Parti Ikatan Demokratik Malaysia, MUDA) dan Dr Maszlee Malik (Bebas).


Sementara itu Biro Politik Parti Muda dalam satu kenyataan, mahu persidangan Parlimen diadakan segera.


“Merujuk kepada amanat khas Perdana Menteri, sekiranya benar beliau masih mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat, ia perlu dibuktikan di Parlimen dengan kadar segera.


“Tidak ada alasan untuk melambatkan persidangan Parlimen sehingga September,” kata kenyataan itu.


Menurutnya lagi, Parti MUDA juga kekal berpendirian bahawa kerajaan Perikatan Nasional hari ini telah gagal dan perlu berundur.


“Kami percaya ia juga adalah pendirian yang dipegang oleh semua parti dalam blok pembangkang,” katanya.

bottom of page