top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ahli Dewan Negara serah memorandum



3 Ogos 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Dewan Negara menghantar satu memorandum kepada Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Dr Rais Yatim di Parlimen hari ini, bagi memohon persidangan Dewan Negara diteruskan.


Ahli Dewan Negara, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff menyerahkan memorandum itu kepada Setiausaha Dewan Negara, Muhd Sujairi Abdullah di pekarangan laluan masuk ke bangunan Parlimen.


Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Ahli Dewan Negara, mereka bersetuju dengan titah DYMM Agong bahawa pembatalan Proklamasi dan Ordinan-Ordinan Darurat yang dibuat oleh pihak kerajaan secara tidak telus dan tanpa melalui kedua-dua dewan dan mendapat perkenan DYMM Agong adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan.


“Sebagai Ahli Dewan Negara yang merupakan Dewan Legislatif tertinggi, kami bersetuju dan menjunjung kasih titah YDP Agong yang menggesa Parlimen bersidang bagi membahaskan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinan Darurat berkaitan.


“Kami juga kesal apabila persidangan Dewan Negara yang dijadualkan bersidang pada 3 – 5 Ogos ditangguhkan dengan notis yang pendek tanpa mengikut peraturan mesyuarat Dewan Negara yang betul.


“Kami dimaklumkan bahawa hampir semua ahli parlimen termasuk Ahli Dewan Negara dan kakitangan telah menerima 2 dos vaksin yang melayakkan ‘herd immunity’ dicapai di kawasan parlimen,” menurut kenyataan itu, hari ini.


Berdasarkan fakta tersebut, ahli-ahli Dewan Negara berpendapat Dewan Negara adalah selamat untuk bersidang.


“Pihak kami juga menyatakan pendirian tegas untuk tidak bersetuju dengan sikap derhaka yang ditunjukkan oleh pihak Kerajaan yang membelakangi titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Majlis Raja-Raja.


“Kami percaya Dewan Negara yang berfungsi sebagai semak dan imbang proses legislatif di negara ini perlu bebas daripada cengkaman pihak eksekutif yang tidak menghormati sistem demokrasi parlimen dan raja berperlembagaan seperti yang diperuntukan di dalam perlembagaan persekutuan,” kata kenyataan itu.


Memorandum itu ditandatangani bersama 16 Ahli Dewan Negara iaitu Senator Raj Munni Sabu, Senator Datuk Theodore Doughlas, Senator Datuk Ismail Yusof, Senator Datuk Husam Musa, Senator Yaakob Sapari.


Senator Datuk Donald Peter Mojuntin, Senator Datuk Husam Musa, Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff, Senator Manolan Mohamad, Senator Laksamana (B) Mohd Imran Abdul Hamid, Senator Dr.Ahmad Azam Hamzah, Senator Lim Hui Ying, Senator Nga Hock Cheh, Senator Alan Ling Sie Kiong.


Turut terlibat, Senator Adrian Banie Lasimbang, Senator Kesavadas Achyuthan Nair dan Senator Suresh Singh.

bottom of page