top of page

Ahli KWSP sedia ada boleh pilih pencen bulanan secara sukarela – MOF

  • nabalunews
  • Aug 7, 2025
  • 1 min read

7 Ogos 2025


KUALA LUMPUR: Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedia ada boleh memilih untuk beralih kepada strukur bayaran pencen bulanan secara sukarela.


Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata hak pengeluaran ahli KWSP sedia ada tidak akan terjejas dengan cadangan strukur baharu itu.


Ini kerana katanya, cadangan berkenaan hanya akan terpakai kepada ahli baharu yang mendaftar selepas tarikh pelaksanaan mekanisme baharu tersebut.


“Penstrukturan semula ini akan memperkenalkan satu mekanisme baharu yang membolehkan sebahagian daripada simpanan ahli diperuntukkan khusus untuk menyediakan aliran pendapatan berkala sepanjang tempoh persaraan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, pada Khamis.


Beliau menjawab soalan tambahan Mordi Bimol (PH-Mas Gading) mengenai rasional KWSP untuk memperkenalkan bayaran pencen secara bulanan, lanjutan daripada pengumuman dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).


Hui Ying berkata, mekanisme baharu itu bertujuan memastikan simpanan ahli bertahan lebih lama bagi menampung perbelanjaan harian ketika tempoh persaraan yang dijangka semakin meningkat, seiring peningkatan jangka hayat.


Menurutnya, struktur baharu iakan diwujudkan apabila ahli mencapai usia persaraan minimum, yang mana simpanan ahli terbahagi kepada dua komponen utama.


“Komponen pertama merupakan simpanan fleksibel yang boleh dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut keperluan ahli. Kedua, adalah simpanan pendapatan yang diagihkan secara berkala atau bulanan sehingga habis.


“Cadangan ini bertujuan mengukuhkan jaminan pendapatan hari tua dan menyokong pengurusan kewangan yang lebih mampan," katanya.


Di bawah RMK13, kerajaan mempertimbangkan untuk memperkenalkan skim bayaran pencen secara bulanan bagi ahli KWSP bagi menjamin pendapatan yang berterusan selepas bersara.


Dalam laporan RMK13 yang diterbitkan oleh Kementerian Ekonomi, mekanisme itu akan membolehkan pengasingan caruman KWSP kepada dua komponen, iaitu simpanan persaraan dan pencen persaraan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page