top of page

Ahli Parlimen berdepan kes mahkamah boleh dilarang hadir Parlimen

Writer: Ilona AndrewIlona Andrew

Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Dr Rais Yatim

30 Sept 2021

Oleh Ilona Andrew


KUALA LUMPUR: Pindaan terhadap Undang-Undang Dewan Parlimen (Keistimewa dan Kuasa) 1952 sedang dikaji semula untuk membolehkan Dewan melarang mana-mana ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara yang berdepan tuduhan mahkamah daripada menghadiri persidangan Parlimen.


Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Dr Rais Yatim berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat khas Transformasi Parlimen hari ini dengan Menteri Undang-Undang Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang dipengerusikan Rais bagi pihak Dewan Negara dan Dewan Rakyat.


Menerusi satu kenyataan hari ini, beliau berkata kedua-dua Dewan itu juga sendang mengkaji penyusunan kod etika khas untuk Ahli Parlimen.


Berikutan pertemuan itu, Rais berkata draf Rang Undang-Undang (RUU) dan memorandum Kabinet mengenai transformasi Parlimen diserahkan kepada Wan Junaidi untuk dibentangkan dan disetujui oleh Kerajaan.


Tambahnya, Wan Junaidi menyokong penuh langkah untuk meminda dan memperketatkan Akta 1952 dan mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 supaya konsep pemisahan kuasa antara badan perundangan dan eksekutif dapat dimanifestasikan seperti yang termaktub dalam Artikel 44 Perlembagaan Persekutuan.


Menurut Rais, dengan langkah itu, Parlimen tidak lagi akan diberi kuasa eksekutif di samping membenarkan beberapa jawatankuasa terpilih baru dengan kuasa perundangan ditubuhkan dalam masa terdekat.


Rais menyatakan bahawa semua transformasi itu sejajar dengan memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai baru-baru antara Kerajaan Pusat dan Pakatan Harapan yang antara lainnya memfokuskan transformasi Parlimen.


Taklimat khas mengenai perincian transformasi Parlimen juga akan dilakukan untuk semua Ahli Parlimen dan senator, tambahnya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page