top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ahli Parlimen berhimpun di Dataran Merdeka selepas Parlimen ditutup


2 Ogos 2021

Oleh Ilona Andrew dan Jacquline Ebit


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen dari blok Pembangkang berhimpun di Dataran Merdeka selepas mereka tidak dibenarkan masuk ke Parlimen hari ini susulan penangguhan Mesyuarat Khas Parlimen hari ini.


Ini adalah pertama kalinya dalam sejarah Malaysia bahawa Ahli Parlimen tidak dibenarkan memasuki bangunan Parlimen.


Parlimen diarah tutup selama dua minggu mulai 29 Julai setelah kes Covid-19 dikesan di bangunan itu. Namun, dilaporkan kes positif di Parlimen hanya pada kadar 0.9 peratus.

Ahli-Ahli Parlimen mula berhimpun di lokasi tersebut sekitar jam 9.45 pagi untuk menuntut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh kabinetnya letak jawatan.


Operasi sekatan jalan raya turut diadakan di mana polis dilihat memegang perisai rusuhan di lokasi itu untuk melarang ahli politik memasuki bangunan Parlimen.


Sebilangan dari Ahli Parlimen telah menyuarakan rasa tidak puas hati dan kritikan terhadap kegagalan pemerintahan Perikatan Nasional menggunakan alat pembesar suara


Laungan "Daulat Tuanku" dan "Undur Muhyiddin" oleh para Ahli Parlimen semasa perhimpunan tersebut juga dapat didengari.


Seramai 107 Ahli Parlimen telah hadir dalam perhimpunan itu, antaranya ialah Ketua Pembangkang, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim; bekas Perdana Menteri, Presiden Pejuang Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Presiden UPKO, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau; dan Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Shafie Apdal.