Ahli Parlimen pembangkang minta Speaker campur tangan isu Azis Jamman dipanggil polisAhli Parlimen pembangkang minta Speaker campur tangan isu Azis Jamman dipanggil polis
top of page
  • Farah Salim

Ahli Parlimen pembangkang minta Speaker campur tangan isu Azis Jamman dipanggil polis


24 Nov 2021

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen dari blok pembangkang menggesa Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Harun untuk campur tangan mengenai isu Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Azis Jamman yang dipanggil polis berhubung perbahasannya di Parlimen.


Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng berkata tindakan tersebut juga bersifat ugutan terhadap ahli parlimen yang lain dalam membangkitkan isu rakyat di Parlimen.


Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP membangkitkan perkara itu dengan merujuk Peraturan Mesyuarat 36 (10) iaitu mengenai isi-isi ucapan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.


Beliau berkata ucapan Azis tidak dibantah di Dewan dan Speaker sendiri tidak menghalang Azis daripada meneruskan ucapannya.


"Kami tidak faham kenapa hak dan keistimewaan Ahli Parlimen semasa berucap di Parlimen sekarang telah diremehkan, malah boleh dianggap dihina oleh siasatan polis yang boleh dianggap sebagai menggertak atau intimidasi terhadap Ahli Parlimen, lebih-lebih lagi pembangkang.


"Kami daripada pihak pembangkang ingin membantah tindakan polis kerana ini bererti polis bertindak sebagai alat untuk menggertak dan mengancam kebebasan dan peranan Ahli Parlimen pembangkang,


“Beliau (Azis) tidak memanggil Sabah keluar dari Malaysia. Beliau menyuarakan apa yang diperkatakan rakyat di Sabah,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.


Tambahnya, isu yang sama juga telah dibangkitkan oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tetapi tiada sebarang tindakan diambil.


Ujarnya lagi, polis sepatutnya merujuk perkara itu kepada Speaker sebelum mengambil sebarang tindakan.


Sementara itu, Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkata ahli Parlimen biasanya dirujuk kepada jawatankuasa Parlimen jika mereka dituduh melakukan kesalahan.


Baru-baru ini, Azis dipanggil polis untuk membantu siasatan berhubung ucapannya yang didakwa mempunyai sentimen anti-Putrajaya.


Semasa persidangan Parlimen, Azis mendakwa rakyat Sabah menyuarakan keinginan untuk keluar dari Malaysia sekiranya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak ditunaikan pada persidangan Parlimen.

bottom of page