Ahli Parlimen pembangkang sifatkan 'tawaran' PM sebagai 'sogokan politik'Ahli Parlimen pembangkang sifatkan 'tawaran' PM sebagai 'sogokan politik'
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ahli Parlimen pembangkang sifatkan 'tawaran' PM sebagai 'sogokan politik'



13 Ogos 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Ahli-ahli pembangkang menyifatkan ‘tawaran hebat’ yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yasin sebagai ‘sogokan’ agar terus diberi sokongan sebagai Perdana Menteri.


Ahli-ahli parlimen pembangkang masing-masing mengeluarkan komen melalui media sosial mereka selepas perutusan khas perdana menteri itu hari ini.


Ahli Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Mahathir menjelaskan bahawa seorang Perdana Menteri yang kehilangan sokongan majoriti daripada Ahli-ahli Parlimen hendaklah meletakkan jawatan seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan.


“Adakah saya mendengar beliau menawarkan kita sogokan untuk menyokongnya dan kerajaan minoritinya? Adakah dia menawarkan untuk kekal sebagai Perdana Menteri?


“Sementara Mahiaddin mendakwa beliau menolak kleptokrasi, dia menawarkan wang kepada Ahli Parlimen pembangkang sebagai pertukaran untuk mendapatkan sokongan.


“Retorik Mahiaddin kedengaran seolah-olah dia menafikan hak Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Perdana Menteri, seorang Ahli Parlimen yang pada pertimbangannya kemungkinan akan mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli parlimen,” katanya.


Sementara itu, Ahli Parlimeh Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula menyifatkan pengumuman khas Perdana Menteri itu penuh dengan hipokrasi dan helah.


“Apabila kuasa dan jawatan sudah di hujung tanduk, baru cari pembangkang duduk semeja.


“Semua dibuat hanya untuk tinggal sehari lebih lama dari hak yang sudah terlucut dengan kehilangan sokongan majoriti Dewan Rakyat.


“Waktu nak hilang kuasa, barulah terfikir nak beri peruntukan tahunan yang sama kepada Ahli Parlimen Pembangkang. Hampir dua tahun Pembangkang tidak terima peruntukan sama dari Kerajaan PN. Lupakah Perdana Menteri apabila Pembangkang merayu untuk peruntukan Parlimen diberikan secara adil dan saksama?,” katanya menerusi media sosial.


Syed Saddiq berkata, tawaran yang diumumkan itu hanya untuk mengekalkan kuasa yang sudah hilang.


“Kerajaan PN dibentuk dari orang yang lompat parti tiba-tiba nak bentang Undang-Undang Lompat Parti. Pelik bin ajaib,” katanya.


Katanya lagi, sejak tahun lepas beliau meminta Kerajaan PN mendengar cadangan pembangkang namun tidak pernah dipedulikan.


“Tiba-tiba hari ini minta buat sokongan bipartisan. Kononnya ada "cadangan rangka persefahaman rentas parti". Kononnya Kerajaan PN mahu buat reformasi Parlimen.


“Saya di barisan hadapan berunding dengan pihak berkuasa. Tapi disekat dan dihalang. Tiba-tiba hari ini umum mahu buat reformasi Parlimen?,” katanya.


Syed Saddiq berkata, rakyat sendiri meragui cadangan-cadangan yang diumumkan Perdana Menteri misalnya UNDI18.


“Perdana Menteri lupa bahawa Kerajaan Perdana Menteri yang halang UNDI18 dari dibuat Julai 2021? Tangguh dan tangguh sampai penghujung tahun 2022. Tiba-tiba hari ini umum UNDI18 boleh dibuat segera. Jangan suka-suka hati umum itu ini jika niatnya hanya mahu kekal berkuasa.


“Sokongan boleh dijual beli seperti tiada lagi maruah dalam kerajaan hari ini.


“Mana pergi semangat bipartisan apabila Kerajaan PN menolak pendaftaran MUDA tanpa sebarang alasan? Tiba-tiba hari ini Perdana Menteri mahu "tampil" demokratik. Kalau demokratik, luluskan sahaja MUDA. Benarkan demokrasi tumbuh subur dengan parti politik orang Muda,” katanya.


Syed Saddiq berkata, masa untuk Perdana Menteri berundur secara terhormat dan meletak jawatan dengan kadar segera.


Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foon Hin berkata, perutusan khas itu adalah pengesahan kerajaan PN kini hilang sokongan ahli-ahli Parlimen.


“Sekiranya PH adalah sebahagian daripada pemerintahan baru, yakinlah bahawa kami akan melaksanakan pembaharuan-pembaharuan itu lebih baik daripada kerajaan sedia ada,” katanya.


Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeo berkata, pengumuman perdana menteri itu tidak mengubah apa-apa untuk membantu Malaysia keluar dari kemelut semasa.


Ahli Parlimen Lembah Pantai Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata pengumuman itu adalah pengesahan Perdana Menteri telah hilang majoriti.

“TS Mahiaddin telah umum beliau hilang majoriti. Terima kasih sahkan,” katanya dalam perkongsian melalui Twitternya hari ini.


Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata, beliau menolak semua tawaran yang diumumkan itu dan meminta supaya Perdana Menteri meletak jawatan.


Manakala Ahli Parlimen Simpang Renggam, Mazlee Malek berkata bersetuju mengekalkan kabinet kerajaan sekarang bererti bersetuju untuk menjahanamkan pendidikan dan masa depan anak-anak.



photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page