Ahli Parlimen Tanjong Karang isytihar sokong kepimpinan PM Anwar
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ahli Parlimen Tanjong Karang isytihar sokong kepimpinan PM Anwar


24 January 2024

Oleh Wartawan Nabalu News

 

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tanjong Karang, Dato' Dr Zulkafperi Hanafi, mengisytiharkan sokongan beliau kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, bermula dari hari ini.

 

Beliau berkata keputusan itu dibuat berdasarkan keperluan kepada kestabilan politik dan kelancaran pemulihan ekonomi negara, serta menginsafi keperitan kehidupan rakyat dengan kos sara hidup yang menghimpit.

 

Beliau juga berkata keputusan itu bertujuan untuk memastikan nasib dan pembangunan penduduk di Parlimen beliau terus terbela dan akan mendapat pelbagai manfaat termasuk peningkatan infrastruktur dan keperluan setempat.

 

"Saya juga ingin menyatakan sokongan kepada dasar dan inisiatif Kerajaan Madani yang mengutamakan kebajikan, pembangunan, ekonomi dan kepentingan rakyat sehingga Pilihan Raya Umum akan datang," katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

 

Beliau menegaskan bahawa beliau masih setia sebagai Ahli Bersatu dan tidak akan mengkhianati Parti Bersatu, namun demi memastikan kelangsungan Parlimen Tanjong Karang seiring dengan pemerintahan peringkat Persekutuan, adalah wajar untuk beliau bersama dengan kepimpinan Putrajaya yang diketuai oleh Anwar Ibrahim.

 

“Saya juga ingin menyatakan bahawa pengisytiharan sokongan ini kepada kepimpinan YAB Perdana Menteri ke-10 adalah tanpa sebarang paksaan dan tekanan daripada mana-mana pihak dan saya lakukan dengan sepenuh hati untuk kepentingan penduduk Tanjong Karang.

 

"Buat semua penduduk Tanjong Karang yang sangat saya kasihi, marilah kita bekerjasama dan menyokong Kerajaan Madani pada hari ini serta sama- sama berdoa semoga Allah S.W.T sentiasa memberkati bumi bertuah Tanjong Karang dan kita semua mendapat limpahan pembangunan sebagaimana yang kita harapkan," katanya.

bottom of page