Ahmad Zahid cadang ‘War Cabinet’ dibentuk dengan fokus kepada pemulihan negaraAhmad Zahid cadang ‘War Cabinet’ dibentuk dengan fokus kepada pemulihan negara
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ahmad Zahid cadang ‘War Cabinet’ dibentuk dengan fokus kepada pemulihan negara



17 Ogos 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Presiden Umno Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan penubuhan sebuah kerajaan baharu dengan kabinet yang efektif mirip ‘War Cabinet' yang hanya memfokuskan proses pemulihan negara dalam mendepani pandemik Covid-19.


Beliau berkata, sebuah kerajaan yang stabil mesti segera ditubuhkan untuk satu tempoh yang munasabah yang akan memfokuskan hanya menangani perang pandemik Covid-19 dan menguruskan soal kesejahteraan rakyat yang semakin meruncing.


“Setelah negara mencapai imuniti kelompok dan keadaan memungkinkan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan, maka Kerajaan ini harus dibubarkan bagi menyerahkan semula mandat mutlak kepada rakyat.


“Bagi menjamin kestabilan dan kerjasama politik dicapai, tindakan menzalimi parti dan pimpinan lawan hendaklah dihentikan. Menggunakan agensi-agensi kerajaan untuk melemahkan lawan dalam mengekalkan kuasa tidak akan memberi apa-apa faedah kepada rakyat,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam kenyataan media, semalam.


Ahmad Zahid berkata, apa yang berlaku perlulah dijadikan teladan dan beliau menyeru semua pihak untuk memandang ke hadapan dengan memberi sepenuh tumpuan hanya kepada satu matlamat bagi bersama-sama menjaga kesejahteraan rakyat dan membina kembali negara ini.


“Negara menyaksikan kemelut politik yang meresahkan semua pihak sejak beberapa bulan lalu.


“Tan Sri Dato' Haji Mahiaddin Haji Md Yasin telah mengumumkan perletakan jawatannya secara rasmi selaku Perdana Menteri. UMNO merakamkan terima kasih kepada beliau atas perkhidmatannya,” katanya.


Katanya lagi, beliau tidak dapat menyembunyikan perasaan terhiris apabila pelbagai tuduhan dan tohmahan dilemparkan ke atas dirinya, sepanjang kemelut politik negara.


“Demi kepentingan rakyat dan negara ketahuilah, saya tidak pernah terlintas untuk menamakan diri saya sebagai calon Perdana Menteri walaupun mengepalai sebuah parti terbesar.


“Justeru, UMNO sebagai sebuah parti yang mempunyai pengalaman luas dan panjang dalam mentadbir negara, akan mempertimbangkan beberapa calon. Sehubungan itu, saya mengharapkan kerjasama serta sokongan semua Ahli-Ahli Parlimen,” katanya.


Ahmad Zahid turut menyeru seluruh ahli dan kepimpinan UMNO di semua peringkat untuk mengenepikan perbezaan dan kembali bertaut demi menjayakan agenda rakyat dan negara ini.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page