Akaun Fleksibel KWSP bakal dilaksana bermula tahun depan, pencarum boleh keluarkan dana kecemasan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Akaun Fleksibel KWSP bakal dilaksana bermula tahun depan, pencarum boleh keluarkan dana kecemasan


24 Oktober 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kerajaan lebih menumpukan kepada membuka satu lagi akaun untuk pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu Akaun Fleksibel bermula tahun depan.


Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, akaun Fleksibel ini membolehkan pencarum mengeluarkan dana bagi tujuan kecemasan.


Beliau berkata kerajaan bercadang tidak akan meluluskan lagi pengeluaran bersasar daripada dana KWSP. Beliau juga berkata kerajaan akan membuat pengumuman lanjut berhubung mekanisme pelaksanaan Akaun Fleksibel termasuk melibatkan peratusan simpanan.


"Mulai tahun depan, sudah diumumkan dalam Belanjawan 2024 kita akan membuka satu lagi akaun untuk pencarum KWSP.


"Buat masa ini, akaun KWSP adalah terdiri daripada Akaun I dan Akaun II. Apa yang diumumkan adalah Akaun Fleksibel.


"Kita akan mengumumkan mengenai apa maksud Akaun Fleksibel ini, yang mana Akaun III boleh diakses oleh semua ahli tanpa mengira mereka daripada kumpulan B40, M40 atau T20 pada bila-bila masa, khususnya ketika kecemasan," katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) yang bertanyakan adakah kerajaan bercadang melaksanakan pengeluaran bersasar.


Menjawab lanjut, beliau berkata kerajaan akan membuat pengumuman lanjut berhubung mekanisme pelaksanaan Akaun Fleksibel termasuk melibatkan peratusan simpanan.


"Sekarang ini sedang dimuktamadkan. Pengeluaran seperti dulu kita tidak buat lagi.


"i-Lestari (melibatkan pengeluaran sebanyak) RM20.8 bilion; i-Citra sebanyak Rm21.4 bilion; i-Sinar sebanyak RM58.7 bilion; serta pengeluaran khas sebanyak RM44.6 bilion," tambah beliau.


Sementara itu menjawab soalan asal Kalam adakah kerajaan bercadang untuk meningkatkan pelaburan tempatan KWSP kepada 70 peratus berbanding 64 peratus pada 2022, Ahmad berkata setakat Jun 2023, jumlah keseluruhan pelaburan KWSP dalam pasaran domestik adalah sebanyak RM665 bilion.


Ujarnya, jumlah pelaburan tersebut dijangka meningkat kepada RM700 bilion pada akhir 2023 iaitu peningkatan sebanyak sembilan peratus berbanding pada 2022.


"Pelaburan KWSP adalah berpandukan alokasi dana yang ditetapkan oleh Panel Pelaburan KWSP pada setiap tahun.


"Untuk tempoh 2018 hingga 2022, KWSP telah memperuntukkan purata melebihi 80 peratus daripada jumlah alokasi dana tahunan untuk dilaburkan dalam pasaran domestik.


"Bagi 2023, sebanyak RM97 bilion atau 83 peratus daripada jumlah alokasi dana tahunan telah diperuntukkan," katanya.


Tambah Ahmad, KWSP akan terus memberi keutamaan kepada pelaburan domestik dengan membahagikan sebahagian besar daripada dana tahunannya kepada pasaran tempatan untuk pelaburan domestik, termasuk dalam bentuk pasaran wang di bank-bank tempatan.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page