top of page
nabalunews

Akta baharu tahanan di rumah tiada kaitan dengan Najib - Fahmi



26 Oktober 2024


PUTRAJAYA: Penggubalan akta baharu berkaitan hukuman tahanan di rumah tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana individu, termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang kini menjalani hukuman penjara.


Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, penggubalan akta ini merupakan inisiatif kerajaan yang bertujuan untuk memperkenalkan pendekatan baharu dalam sistem keadilan negara.


Beliau yang juga jurucakap kerajaan Perpaduan menjelaskan bahawa akta ini adalah sebahagian daripada usaha untuk beralih daripada pendekatan hukuman kepada sistem keadilan pemulihan.


Melalui sistem ini, matlamatnya adalah untuk memberikan peluang kepada pesalah untuk memperbaiki diri dan menyumbang semula kepada masyarakat, sekali gus mengurangkan kadar pengulangan jenayah di masa hadapan.


“Baru-baru ini dalam mesyuarat Majlis Sosial Negara yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) telah memberikan konteks secara menyeluruh dalam perbincangan mengenai tindakan atau mewujudkan satu akta baharu berkaitan tahanan di rumah.


“Ia bermula awal tahun lepas, dalam konteks apa yang disebut sebagai peralihan pandangan kerajaan daripada ‘punitive’ (hukuman) kepada ‘restorative justice’ (keadilan pemulihan), di mana konsep keadilan adalah untuk mengembalikan seseorang individu yang telah didapati bersalah kembali ke komuniti,” katanya pada sidang media mingguan selepas mesyuarat Jemaah Menteri di sini pada Jumaat, lapor Bernama.


Berkongsi data kajian projek rintis berkaitan tahanan di rumah yang dilaksanakan sepanjang tahun lepas dengan melibatkan 5,000 banduan, Fahmi berkata ia merekodkan kadar residivisme (kembali melakukan kesalahan) telah menurun kira-kira 15 peratus.


Susulan itu Fahmi berkata projek rintis berkenaan boleh diperluaskan kerana ketika ini terdapat 82,000 tahanan di penjara, yang didapati melebihi kapasiti sedia ada iaitu 74,000 tahanan.


Beliau berkata langkah itu akan membantu Jabatan Penjara menjimatkan kos pengurusan penjara sebanyak RM19 juta.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober lalu dilaporkan berkata kerajaan akan menggubal akta baharu bagi membolehkan hukuman tahanan di rumah sebagai alternatif untuk kesalahan tertentu.


Mengikut peruntukan akta itu, pesalah dikehendaki berada di tempat yang dianggap bersesuaian seperti kediaman, rumah jagaan atau asrama pekerja sepanjang tempoh penahanan.


Saifuddin Nasution pula dilaporkan berkata akta berkaitan hukuman tahanan di rumah itu akan dibentangkan tahun depan dan Kabinet telah memberikan kelulusan dasar untuk pelaksanaan.


Beliau berkata ia menyasarkan kira-kira 20,000 pesalah kategori tertentu, antaranya pesalah pertama yang tidak melakukan kesalahan berat, wanita mengandung, warga emas, dan orang kurang upaya (OKU), yang layak dipertimbangkan selepas mereka menjalani proses tapisan.

Comments


bottom of page