Akta Pekerja Gig berkuat kuasa mulai hari ini
- nabalunews
- Mar 31
- 2 min read

31 Mac 2026
PUTRAJAYA: Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) secara rasminya mula berkuat kuasa hari ini dengan anggaran lebih 1.64 juta individu terlibat dalam ekonomi gig di negara ini menerima pelbagai manfaat.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, pelaksanaan akta itu mencerminkan komitmen beterusan kerajaan dalam usaha membina tenaga kerja yang lebih adil, inklusif dan berdaya tahan, selaras dengan pertumbuhan pesat ekonomi digital.
“Akta ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 1.64 juta pekerja gig di seluruh negara menerusi penyediaan rangka kerja undang-undang yang komprehensif.
“Ia merangkumi ketelusan perjanjian perkhidmatan, kepastian pembayaran, perlindungan daripada diskriminasi, serta akses kepada mekanisme penyelesaian pertikaian tersusun melalui Jabatan Perhubungan Perusahaan dan Tribunal Pekerja Gig yang baru ditubuhkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, perlindungan sosial di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan turut diperkukuh tanpa menjejaskan fleksibiliti yang menjadi teras model pekerjaan gig.
Menerusi penguatkuasaan Akta 872, katanya, Malaysia menjadi antara negara terawal di rantau ini yang memperkenalkan undang-undang khusus dan menyeluruh untuk ekonomi gig, sekali gus berpotensi menjadi rujukan pembangunan dasar serantau dan global.
Di bawah akta berkenaan, pekerja gig ditakrifkan secara inklusif merangkumi individu yang menyediakan perkhidmatan melalui platform digital mahupun secara bebas, termasuk sektor kreatif, profesional dan perkhidmatan bebas.
“Bagi memperkukuh tadbir urus, Majlis Perundingan Pekerja Gig (MPGiG) terdiri daripada wakil kerajaan, pekerja gig dan entity kontrak ditubuhkan untuk menasihati kerajaan mengenai kadar pendapatan minimum dan piawaian sektor berdasarkan data dan keperluan semasa pasaran.
“Seramai 26 anggota majlis daripada pelbagai industri telah dilantik berkuat kuasa 1 April 2026, dengan mesyuarat pertama dijadualkan pada 3 April, yang akan memberi tumpuan kepada kadar pendapatan dan pelaksanaan awal akta ini,” ujarnya.
Selain itu, menurut beliau, Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) telah ditubuhkan sebagai badan penyelaras tunggal bagi memastikan pelaksanaan dasar, pemantauan industri serta pembangunan ekosistem gig yang lebih bersepadu dan berkesan.
Akta 872 turut memperkenalkan sistem pengurusan aduan lebih teratur melalui platform eAduan Kementerian, membolehkan pekerja gig membuat laporan berkaitan bayaran, penggantungan akaun, atau pelanggaran perjanjian, dengan sasaran penyelesaian maksimum 21 hari bekerja, bergantung jenis kes.















Comments